Majlis berprestij AIGA 2025 pada 22 Oktober 2025 telah berlangsung penuh gemilang dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, yang turut menyampaikan Amanat Integriti Nasional buat julung kalinya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam merangkap Ahli Lembaga Pengarah IIM, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, YDH Datuk Ts. Ahmad Ramdzan bin Daud, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM serta YBhg. Dato’ Sri Dr. Akhbar bin Satar, Pengerusi Jawatankuasa Induk AIGA serta Ahli Lembaga Pengarah IIM.
Majlis ini turut menghimpunkan organisasi sektor awam dan swasta yang menyertai AIGA, barisan panel penilai profesional, rakan media, serta para jemputan kehormat daripada pelbagai lapisan.
Tahun ini menyaksikan peningkatan signifikan dalam penyertaan AIGA, mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam menjadikan integriti, governans dan antirasuah sebagai teras kecemerlangan.
AIGA 2025 bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi simbol perjuangan untuk membudayakan integriti di setiap peringkat yang menjadikan nilai ini sebagai asas pembentukan sebuah negara yang berprinsip, berwibawa dan bebas rasuah.





