26 November 2026 2:17 pm

MAKLUMAN ARAHAN PELAKSANAAN DAN PEMANTAPAN  INISIATIF PEMBUDAYAAN INTEGRITI DI SEMUA KEMENTERIAN DAN JABATAN

Adalah dimaklumkan bahawa YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara telah mengeluarkan surat Arahan Pelaksanaan dan Pemantapan Inisiatif Pembudayaan Integriti di Semua Kementerian dan Jabatan rujukan JPM.KSN.100-2/2/5 JLD. 83 (9) bertarikh 13 November 2026.

Sebarang pertanyaan berhubung arahan ini boleh dikemukakan kepada Pusat Pembudayaan Integriti Nasional (PPIN), Institut Integriti Malaysia melalui e-mel [email protected] atau pegawai seperti berikut:

Bil.

Nama Pegawai

No. Telefon

E-mel

(i)

Nadia Azmin

013-904 8378

[email protected]

(ii)

Muhammad Nurarif Idris

018-242 2701

[email protected]

(iii)

Muhammad Rasyid Mohammad Rohim

017-337 3532

[email protected]

Kerjasama dan komitmen semua kementerian dan jabatan amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih.

Ke Arah Pembudayaan Integriti Sebagai Teras Pembinaan Negara

1.       PENDAHULUAN

Integriti merupakan asas penting dalam membina sebuah negara yang berdaya tahan, berdaya saing, sejahtera dan bermaruah.
Pembudayaan integriti tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut pematuhan undang-undang, peraturan dan penguatkuasaan, sebaliknya perlu berteraskan penghayatan nilai, pembentukan karakter, amanah, kejujuran dan tanggungjawab dalam setiap
lapisan masyarakat.

Justeru, usaha memperkukuh integriti nasional memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan sektor awam, institusi
keluarga, pendidikan, kepimpinan, sektor ekonomi, teknologi digital, institusi agama, komuniti, belia serta masyarakat sivil. Usaha ini juga menuntut komitmen dan kepimpinan institusi yang berkesan, disokong oleh penyelarasan, sumber dan mekanisme pemantauan yang mampan.

Secara keseluruhannya, Konvensyen Integriti Nasional 2026 mengangkat tiga (3) mesej utama, iaitu pembudayaan integriti dalam masyarakat sebagai asas pembentukan nilai dan tingkah laku, pengukuhan kepimpinan serta tadbir urus berintegriti, dan pemerkasaan institusi peneraju melalui mandat, kapasiti serta sumber yang mencukupi dan mampan.

Sehubungan itu, Konvensyen Integriti Nasional 2026 telah memuktamadkan tujuh (7) resolusi sebagai hala tuju dan komitmen bersama dalam memperkukuh pembudayaan integriti nasional seperti berikut:

RESOLUSI 1
MEMPERKUKUH INSTITUSI KELUARGA DAN KOMUNITI SEBAGAI ASAS PEMBUDAYAAN INTEGRITI

Memperkukuh peranan institusi keluarga dan komuniti sebagai asas pembentukan nilai, karakter dan tingkah laku berintegriti melalui pelaksanaan serta pengukuhan inisiatif sedia ada, termasuk Dasar KASIH Keluarga Negara dan program pembangunan komuniti.

Usaha ini hendaklah memberikan penekanan kepada pendidikan keibubapaan, teladan dalam keluarga, pembentukan sahsiah sejak usia awal serta pengukuhan norma sosial yang menolak rasuah, penyelewengan dan salah laku. Elemen integriti juga wajar diberikan perhatian dalam pengukuran kesejahteraan keluarga bagi memperlihatkan hubungan antara penghayatan nilai, keharmonian keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

RESOLUSI 2
MEMPERKUKUH PENDIDIKAN KARAKTER DAN INTEGRITI DALAM EKOSISTEM PENDIDIKAN

Memperkukuh penerapan nilai dan pendidikan integriti secara menyeluruh, berterusan dan inklusif dalam ekosistem pendidikan, daripada pendidikan awal kanak-kanak hingga pendidikan tinggi serta pembelajaran sepanjang hayat.

Keutamaan hendaklah diberikan kepada peningkatan kompetensi pendidik sebagai pembentuk karakter dan teladan integriti,
pengukuhan sahsiah pelajar serta penerapan amalan integriti dalam pengurusan institusi, pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Integriti perlu menjadi sebahagian daripada budaya dan amalan institusi pendidikan, bukan sekadar kandungan pembelajaran.

RESOLUSI 3
MEMPERKUKUH KEPIMPINAN BERETIKA, TADBIR URUS DAN INTEGRITI EKONOMI

Memperkukuh kepimpinan beretika dan tadbir urus organisasi dalam sektor awam dan swasta berasaskan prinsip ketelusan, akauntabiliti, keadilan, amanah dan tanggungjawab.

Usaha ini hendaklah merangkumi pengurusan konflik kepentingan, integriti dalam perolehan dan rantaian bekalan, amalan perniagaan beretika, perlindungan pemberi maklumat serta pertanggungjawaban kepimpinan terhadap salah laku organisasi. Prestasi dan daya saing ekonomi negara perlu disokong oleh amalan perniagaan yang berintegriti, bukannya semata-mata berorientasikan keuntungan tanpa menghiraukan etika dan kepentingan awam.

RESOLUSI 4
MEMPERKUKUH PENGGUNAAN KECERDASAN BUATAN DAN TEKNOLOGI DIGITAL SECARA BERETIKA DAN BERTANGGUNGJAWAB

Memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital dilaksanakan secara beretika, telus, selamat dan bertanggungjawab dengan memperkukuh pelaksanaan kerangka serta garis panduan sedia ada, termasuk kerangka tadbir urus dan etika AI yang berkaitan.

Penekanan hendaklah diberikan kepada akauntabiliti, perlindungan privasi dan keselamatan data, pengawasan manusia serta integriti dalam penggunaan AI, khususnya dalam perkhidmatan awam, sektor pendidikan dan penyelidikan. Pada masa yang sama, usaha pencegahan perlu dipertingkat bagi menangani penyalahgunaan teknologi seperti penipuan digital, penyamaran identiti, manipulasi maklumat dan kandungan palsu yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat.

RESOLUSI 5
MEMBINA NORMA INTEGRITI DALAM RUANG DIGITAL DAN MEMPERKASA GOLONGAN MUDA

Memperkukuh pembudayaan nilai dan tingkah laku berintegriti dalam ruang digital melalui peningkatan literasi digital dan
tanggungjawab sosial, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Usaha ini hendaklah memberikan perhatian kepada pencegahan dan intervensi awal bagi menangani tingkah laku tidak beretika seperti penyebaran maklumat palsu, fitnah, buli siber, kebencian dan manipulasi digital. Golongan muda juga perlu diperkasa sebagai rakan strategik dan pemangkin perubahan dalam menyebarluaskan budaya integriti melalui penyertaan aktif dan pengaruh positif dalam masyarakat.

RESOLUSI 6
MEMPERKASA PERANAN INSTITUSI AGAMA, KOMUNITI ILMU DAN MASYARAKAT SIVIL

Memperkukuh kerjasama strategik antara institusi agama, institusi pengajian tinggi, badan profesional, organisasi masyarakat sivil dan pemimpin komuniti dalam menyemarakkan pembudayaan integriti nasional.

Institusi dan pihak berkepentingan ini hendaklah memainkan peranan lebih aktif dalam menterjemahkan nilai moral, agama dan etika kepada amalan kehidupan, kepimpinan yang adil, pekerjaan yang amanah serta tanggungjawab sosial. Kerjasama rentas
institusi juga perlu diperkukuh bagi membina masyarakat yang saling menghormati, bertanggungjawab dan berdaya tahan terhadap pengaruh yang menjejaskan nilai integriti.

RESOLUSI 7
MEMPERKUKUH PERANAN DAN KAPASITI INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA SEBAGAI INSTITUSI PENERAJU PEMBUDAYAAN INTEGRITI NASIONAL

Memperkukuh peranan, mandat dan kapasiti Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai institusi peneraju pembudayaan integriti
nasional, khususnya dalam menerajui pelaksanaan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) secara menyeluruh dan
bersepadu merentas sektor awam, swasta dan masyarakat.

Bagi memastikan peranan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, IIM perlu diperkasa melalui pengukuhan kepakaran, sumber manusia, penyelidikan, advokasi, pembangunan kapasiti serta keupayaan penyelarasan, pemantauan dan penilaian. Kerajaan juga hendaklah menyediakan peruntukan kewangan dan sumber yang mencukupi, konsisten serta mampan bagi memastikan
kesinambungan fungsi dan keberkesanan pelaksanaan
tanggungjawab tersebut.

Mekanisme pemantauan, pengukuran pencapaian dan pelaporan kemajuan yang telus perlu diperkukuh bagi memastikan usaha pembudayaan integriti nasional dapat dinilai secara berterusan dan menghasilkan impak yang nyata.

2.       TINDAKAN PELAKSANAAN OLEH KEMENTERIAN DAN JABATAN

Bagi memastikan tujuh (7) resolusi KIN 2026 diterjemahkan kepada tindakan yang konkrit dan berkesan, semua kementerian dan jabatan hendaklah menyemak, memperkukuh dan melaksanakan inisiatif integriti yang bersesuaian dengan mandat, fungsi dan
bidang kuasa masing-masing, dengan memberikan perhatian kepada perkara-perkara berikut:

2.1    Memperkukuh kepimpinan dan komitmen pengurusan tertinggi dengan menjadikan integriti sebagai agenda utama pengurusan organisasi serta memastikan pemimpin di semua peringkat menunjukkan teladan, akauntabiliti dan komitmen
terhadap amalan tadbir urus yang baik;

2.2    Menyemak dan memantapkan inisiatif integriti sedia ada, termasuk Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), pelan tindakan integriti, mekanisme kawalan dalaman dan pengurusan risiko bagi memastikan inisiatif tersebut kekal relevan, berkesan dan selaras dengan hala tuju nasional;

2.3    Memantapkan integriti dalam sistem dan proses kerja dengan memberikan perhatian kepada aspek ketelusan, akauntabiliti, pengurusan konflik kepentingan, perolehan, pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia, perlindungan pemberi maklumat serta pencegahan salah guna kuasa dan penyelewengan;

2.4    Memperkukuh pembudayaan integriti dalam kalangan warga kerja melalui penerapan nilai, pendidikan dan latihan berterusan, pengukuhan etika profesional serta pembentukan persekitaran kerja yang menolak rasuah, salah laku dan pelanggaran tatakelakuan;

2.5    Memastikan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan bertanggungjawab dengan memberikan perhatian kepada aspek ketelusan, keselamatan data, perlindungan privasi, akauntabiliti serta pengawasan
manusia;

2.6    Menggembleng kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan, termasuk institusi pendidikan, institusi agama, badan profesional, masyarakat sivil, komuniti dan sektor swasta bagi memperluas pembudayaan integriti melangkaui sempadan organisasi; dan

2.7    Memastikan pelaksanaan inisiatif integriti mempunyai sasaran, petunjuk prestasi dan mekanisme penilaian yang jelas supaya keberkesanan pelaksanaan dapat diukur berdasarkan perubahan amalan, tingkah laku dan kualiti tadbir urus, bukan semata-mata berdasarkan bilangan program yang dilaksanakan.

3.       TANGGUNGJAWAB KEPIMPINAN DAN AKAUNTABILITI PELAKSANAAN

Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan hendaklah bertindak sebagai peneraju dan pemegang akauntabiliti agenda integriti di
kementerian dan jabatan masing-masing, bertanggungjawab memastikan pelaksanaan resolusi KIN 2026 diberikan keutamaan,
disepadukan dalam pengurusan organisasi dan dilaksanakan secara menyeluruh. Bagi tujuan tersebut, Ketua Setiausaha dan
Ketua Jabatan hendaklah:

3.1    Menetapkan keutamaan dan hala tuju pelaksanaan inisiatif integriti berdasarkan tujuh resolusi KIN 2026 serta mandat dan fungsi agensi;

3.2    Memastikan setiap jabatan dan agensi di bawah kementerian atau jabatan masing-masing mengambil tanggungjawab
dalam melaksanakan inisiatif integriti yang berkaitan dengan fungsi dan bidang tugas masing-masing;

3.3    Memanfaatkan Unit Integriti sebagai penyelaras dan pemudah cara pelaksanaan, pemantauan serta pelaporan inisiatif integriti; dan

3.4    Memastikan pelaksanaan agenda integriti diberikan perhatian dalam mesyuarat pengurusan tertinggi serta menjadi sebahagian daripada agenda tadbir urus dan pengurusan prestasi organisasi.

4.       PEMANTAUAN DAN PENILAIAN PELAKSANAAN

Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan berterusan, Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan hendaklah memastikan
mekanisme pemantauan dan penilaian diwujudkan serta dilaksanakan secara sistematik dengan mengambil kira perkara-
perkara berikut:

4.1    Kemajuan pelaksanaan inisiatif integriti berdasarkan sasaran dan petunjuk prestasi yang telah ditetapkan;

4.2    Keberkesanan inisiatif dalam membentuk perubahan amalan, tingkah laku dan budaya kerja berintegriti;

4.3    Pengenalpastian isu, cabaran dan kekangan pelaksanaan serta tindakan penambahbaikan yang perlu diambil; dan

4.4    Penyediaan rekod dan laporan kemajuan pelaksanaan untuk dikemukakan kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) secara suku tahunan, bagi tujuan penyelarasan, pemantauan dan penilaian di peringkat nasional.

5.       PENUTUP

Pembudayaan integriti bukan tanggungjawab Unit Integriti atau agensi penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh kepimpinan dan warga organisasi. Kejayaan agenda ini memerlukan komitmen pengurusan tertinggi yang diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten, penyepaduan nilai integriti dalam sistem dan proses kerja serta pemantauan keberkesanan pelaksanaan secara berterusan.

Kejayaan agenda integriti nasional juga tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kesalahan yang dikesan atau tindakan penguatkuasaan yang diambil semata-mata, tetapi turut dinilai melalui kesediaan individu dan organisasi untuk melakukan perkara yang benar walaupun tanpa pengawasan.

Sehubungan itu, tujuh (7) resolusi KIN 2026 hendaklah diterjemahkan kepada tindakan yang terselaras, mempunyai
sasaran yang jelas serta dipantau secara berterusan demi membina sebuah negara yang menjadikan integriti sebagai nilai hidup dan budaya bersama.

Newsletter

Anda telah berjaya melanggan! Aduh! Kesilapan telah berlaku, sila cuba lagi.
Ikuti sosial media kami

Berita Terkini

  • All Post
  • Berita

Media Sosial

JUMLAH HARI INI : 319
JUMLAH PELAWAT : 512110

Diperakui

Hubungi

© 2026 Institut Integriti Malaysia (IIM) 200401005949 (644452-P). Hakcipta Terpelihara. Paparan terbaik: Mozilla Firefox, Chrome, Internet Explorer 11 ke atas dengan resolusi 1250 x 768. Tarikh dikemaskini pada : 26 November 2026

Skip to content