Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menerima kunjungan hormat daripada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak pada 1 Julai 2026 bertempat di IIM. Delegasi UNIONS telah diketuai oleh YB Dato’ Mursyid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman). Ketibaan delegasi telah disambut oleh YBhg. Datuk Seri Noridah binti Abdul Rahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, bersama barisan pegawai kanan IIM.
Kunjungan hormat ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara IIM dan UNIONS, khususnya dalam agenda pemantapan integriti, tatakelola dan pencegahan rasuah. Pertemuan ini turut membuka ruang perkongsian pandangan, pengalaman serta hala tuju pelaksanaan program berimpak tinggi yang mampu menyokong usaha pembudayaan integriti secara lebih menyeluruh di pelbagai peringkat.
Antara perkara utama yang dibincangkan adalah pelaksanaan Program Persidangan Integriti, Tatakelola dan Anti Rasuah (PINTAR) serta Sambutan Hari Integriti Sarawak (HIS). Perbincangan turut menyentuh cadangan pelancaran Kelab Rakan Integriti Sekolah (KRIS) sebagai salah satu inisiatif penting dalam menyemai nilai integriti sejak di bangku sekolah. Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka program dan inisiatif baharu yang berpotensi dilaksanakan dalam memperkukuh kefahaman, penghayatan dan amalan integriti serta tadbir urus ke arah tahap yang lebih tinggi.

















