Ketua Setiausaha Negara (KSN) merangkap Pengerusi IIM, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, pagi tadi telah menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Institut Integriti Malaysia (IIM) ke-22 yang bertemakan “Menjunjung Amanah, Memacu Integriti”. Dalam majlis yang berlangsung di Auditorium Integriti itu, beliau turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, tokoh negarawan yang menjadi pelopor kepada kewujudan IIM dan Pelan Integriti Nasional (PIN) sejak dua dekad lalu.
Dalam ucapannya lagi, beliau menegaskan prinsip taklif wa la tashrif, iaitu konsep di mana setiap jawatan yang disandang merupakan satu beban tanggungjawab dan amanah yang berat, bukannya satu keistimewaan atau kemuliaan untuk dibanggakan. Beliau mengingatkan penjawat awam bahawa setiap kuasa yang diberikan akan dipersoalkan akauntabilitinya, bukan sahaja di hadapan masyarakat tetapi juga di sisi Allah SWT selaras dengan tuntutan agama.
Mengulas mengenai evolusi IIM, beliau memuji keupayaan IIM dalam memacu reformasi integriti melalui pendekatan digital dan praktikal. Antara pencapaian signifikan yang ditekankan ialah peluncuran Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) pada Disember 2025 yang kini menjadi rujukan bersepadu kementerian untuk menilai tahap kesihatan integriti organisasi. Selain itu, inisiatif Corporate Integrity System Malaysia (CISM) terus diperkasa bagi memastikan budaya integriti korporat seiring dengan aspirasi nasional.
Menyentuh mengenai prestasi global, beliau mengumumkan bahawa Malaysia mencatatkan peningkatan positif dalam Corruption Perceptions Index (CPI) 2025 dengan skor 52, menduduki tangga ke-54 dunia. Walaupun menunjukkan trend peningkatan, beliau menggesa semua pihak untuk tidak leka bagi mencapai sasaran berada dalam kelompok 25 terbaik dunia. Selaras dengan matlamat itu, Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) sedang dibangunkan melalui pendekatan Whole-of-Nation yang melibatkan seluruh ekosistem masyarakat.
Beliau turut menyeru seluruh warga perkhidmatan awam agar berani menegakkan kebenaran dan tidak memilih untuk membisu sekiranya melihat sebarang bentuk penyelewengan berlaku. Tegas beliau, sikap berdiam diri terhadap kesalahan merupakan satu kegagalan amanah, dan negara memerlukan warga kerja yang berintegriti tinggi serta meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi dalam setiap keputusan.











