Institut Integriti Malaysia (IIM) hari ini menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda tata kelola baik negara menerusi siri kolaborasi strategik dan program pemerkasaan modal insan.
Satu lagi pengisian majlis yang bermakna, menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara IIM dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS). Kerjasama ini bertujuan untuk mewujudkan sinergi dalam menerapkan nilai-nilai integriti dan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan pemimpin masa depan. Melalui kolaborasi ini, kedua-dua pihak komited untuk memastikan budaya amanah menjadi teras utama dalam setiap aktiviti kemasyarakatan dan kepimpinan mahasiswa di seluruh negara.
Sejajar dengan usaha melahirkan generasi pelapis yang berintegriti, majlis turut meraikan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan kepimpinan melalui Penyampaian Sijil Profesional Kepimpinan Integriti (SPKI). Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini merupakan inisiatif pengiktirafan profesional terhadap kompetensi individu dalam mengemudi organisasi berteraskan prinsip etika yang teguh.
Pada majlis yang sama, seramai 41 mahasiswa telah ditauliahkan sebagai Duta Integrity Youth Ambassador (IYA), dan menggalas tanggungjawab sebagai ejen perubahan di peringkat institusi pengajian tinggi bagi memupuk kesedaran mengenai bahaya rasuah dan kepentingan amalan integriti dalam kalangan belia.










