Bersempena dengan sambutan Hari Sukan Negara 2026, Institut Integriti Malaysia (IIM) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Pentadbiran (BPSMP) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Institut Integriti Malaysia (KESKIM) telah menganjurkan Program Sejiwa Sihat: Sukan Rakyat bertempat di Auditorium IIM.
Inisiatif ini merupakan komitmen berterusan pengurusan IIM dalam menyokong aspirasi negara ke arah membudayakan sukan dan gaya hidup sihat yang aktif. Program ini direka secara strategik untuk memupuk semangat kebersamaan (“SEJIWA IIM”), koordinasi dan kemahiran komunikasi menerusi pelbagai sukan rakyat dan tradisional.
Tujuan utama program ini adalah untuk menggalakkan kesejahteraan fizikal dan mental, di samping mewujudkan ruang untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih santai.
Program juga bertujuan memperkukuh semangat kerjasama berpasukan dan komunikasi dalam kalangan warga merentasi bahagian dan peringkat jawatan, serta membina persekitaran kerja yang lebih positif.














