Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan Bengkel Pembelajaran Bersepadu Program Community Integrity Building (CIB) DBKL 2026 pada 3 dan 4 Oktober 2026 bertempat di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB), Cheras.
Bengkel telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Nor Azlina binti Mohd Saad, Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kolaborasi antara DBKL, IIM, komuniti dan kontraktor bagi memastikan penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih responsif, telus dan berakauntabiliti.
Bengkel ini menjadi platform penyelarasan pelaksanaan CIB, khususnya berkaitan saluran aduan, skop projek, peranan pihak terlibat, mekanisme pemantauan serta penggunaan Sistem Maklum Balas CIB (e-CIB). Pengisian turut merangkumi skop Landskap – Cantasan Pokok dan Penyelenggaraan Jalan Berlubang (Pothole), demonstrasi e-CIB serta sesi soal jawab dan maklum balas.
Hampir 50 peserta terlibat terdiri daripada Pasukan Pemantau Komuniti – Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Bandar Tun Razak, kontraktor serta pegawai DBKL daripada Pejabat Cawangan Bandar Tun Razak, Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi serta Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran (JKAWS).
Pelaksanaan CIB DBKL 2026 diharap dapat memperkukuh budaya integriti, kecekapan penyampaian perkhidmatan dan kepercayaan komuniti.















