KUALA TERENGGANU, 10 NOVEMBER 2026 – Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK Terengganu) dan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. telah menganjurkan Seminar Integriti Korporat (SIK) Terengganu 2026 bertemakan “Pencetus Legasi Perniagaan Berintegriti” bertempat di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu.
Penganjuran seminar ini bertujuan menjadi platform perkongsian ilmu serta meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta mengenai kepentingan pengukuhan integriti dan amalan tadbir urus korporat yang baik dalam sektor perniagaan. Seminar ini telah menghimpunkan seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada wakil sektor perniagaan.
Pengisian seminar merangkumi perkongsian mengenai liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, serta penerapan tatacara mencukupi melalui Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM). Sesi perkongsian telah disampaikan oleh YBrs. PsK Puan Intan Nabila Ridzwan, Ketua Cawangan SPRM Kemaman, Terengganu dan YBrs. Encik Mohd Rais Ramli, Pengarah Kanan, Pusat Pembudayaan Integriti Nasional, IIM.
Penganjuran SIK Terengganu 2026 ini mencerminkan komitmen berterusan IIM dalam memperkukuh pembudayaan integriti dalam sektor perniagaan melalui penerapan nilai akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang baik. Usaha ini diharap dapat menyumbang kepada pembentukan ekosistem perniagaan yang lebih berintegriti dan mampan, sekali gus menjadi asas kepada pembinaan legasi perniagaan yang beretika dan bertanggungjawab.









