Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah melaksanakan Sesi Penilaian Lapangan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 5 Ogos 2026. Inisiatif ini mencerminkan komitmen tinggi NRES dalam memperkukuh integriti, tadbir urus yang mantap serta sistem penyampaian perkhidmatan yang telus dan berakauntabiliti, selaras dengan mandat kementerian dalam memelihara sumber asli dan memastikan kelestarian alam sekitar. Pelaksanaan ini turut memperlihatkan keupayaan NRES membudayakan integriti secara menyeluruh melalui pendekatan yang sistematik, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap kecekapan pengurusan organisasi. Usaha ini juga sejajar dengan Pelan Strategik NRES yang menekankan integriti, governans dan kelestarian sebagai teras utama pentadbiran kementerian.
Sesi penilaian lapangan diketuai oleh Encik Nabil Eiman Azman selaku Penilai Pertama, dibantu oleh Puan Nurul Fadzliyanie binti Mohd Razif dan Puan Fara Hasda binti Suhaimi, Konsultan Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam (PISPA), IIM. Sepanjang sesi, pasukan penilai meneliti maklumat penilaian kendiri melalui portal SPINE, menyemak dokumen sokongan, mendapatkan penjelasan daripada pegawai berkaitan serta memberikan panduan penambahbaikan, khususnya dalam aspek tadbir urus yang menyokong pengurusan sumber asli secara mampan dan berkesan.
Kerjasama dan kesungguhan yang diberikan oleh pegawai-pegawai NRES telah melancarkan keseluruhan proses penilaian, termasuk sesi temu bual dan semakan pelaksanaan bagi setiap elemen berkaitan. Melalui sesi-sesi ini, dapatan semakan, pembuktian dokumen dan syor penambahbaikan berkaitan elemen-elemen tertentu yang dikenalpasti diharap dapat menjadi nilai tambah kepada pihak NRES dalam memperkukuh lagi mutu kerja dan keberkesanan kawalan dalaman pengurusan sumber asli dan agenda kelestarian alam sekali gus menegaskan bahawa integriti bukan sekadar pematuhan dokumentasi, tetapi asas utama dalam keseluruhan sistem pengurusan organisasi.










