15 Jun 2026, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Rizal Palil, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat. Turut serta dalam delegasi tersebut ialah Dr. Dahlia Fernandez dan Dr. Soliha Sanusi. Sesi kunjungan telah diadakan di Institut Integriti Malaysia, Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Kunjungan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh IIM, khususnya Sijil Profesional Kompetensi Integriti (SPKI) dan Integrity Individual Profiling (IIP) . Dalam sesi tersebut, pihak IIM telah berkongsi mengenai pelaksanaan SPKI sebagai inisiatif pembangunan kompetensi integriti yang memberi penekanan kepada aspek tadbir urus, pematuhan, pengurusan risiko rasuah serta pengukuhan budaya integriti dalam organisasi.
Selain itu, delegasi UKM turut diberi pendedahan mengenai Integrity Individual Profiling (IIP), iaitu instrumen penilaian psikometrik berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan untuk menilai tahap integriti, kecenderungan tingkah laku serta potensi risiko integriti seseorang individu. Instrumen ini boleh dimanfaatkan dalam proses pengambilan pekerja, penempatan tugas, pembangunan bakat serta perancangan penggantian kepimpinan bagi memastikan pemilihan individu yang berintegriti dan bersesuaian dengan peranan yang dipertanggungjawabkan.
Sesi perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama antara kedua-dua pihak dalam bidang latihan, penyelidikan, pembangunan modal insan dan program pengukuhan integriti yang boleh memberi manfaat kepada warga akademik serta pelajar institusi pengajian tinggi. Perkongsian tersebut membuka ruang kepada penerokaan kerjasama strategik yang lebih meluas dalam usaha memperkasakan agenda integriti dan tadbir urus baik.
Semoga kunjungan hormat ini menjadi platform yang bermakna dalam mempererat hubungan antara Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM dan Institut Integriti Malaysia serta menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama ke arah pembudayaan integriti yang lebih menyeluruh dan mampan.











