Institut Integriti Malaysia (IIM) telah melaksanakan Bengkel Training of Trainers Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) pada 7 Ogos 2025 yang melibatkan penyertaan pegawai-pegawai IIM. Bengkel ini telah memberi pendedahan mendalam mengenai konsep, struktur, objektif, serta rasional pelaksanaan SPINE sebagai alternatif praktikal, kos efektif dan fleksibel kepada Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), di samping memantapkan kefahaman dalaman sebelum ia diperluas kepada agensi luar.
Bengkel ini bertujuan melatih pegawai IIM untuk berperanan sebagai penilai bertauliah SPINE, merangkumi kemahiran melaksanakan penilaian keberkesanan, semakan dokumen, pengesahan kendiri, pengenalpastian jurang, dan penyediaan cadangan modul rawatan yang bersesuaian. Pendekatan ini membolehkan intervensi difokuskan kepada bahagian yang benar-benar ‘sakit’ atau kritikal, sekali gus mengoptimumkan penggunaan sumber, masa, dan kepakaran IIM dalam membimbing organisasi lain kelak.
SPINE turut diselaraskan dengan dasar dan polisi utama negara seperti NACS, MyGovernance, ARPA, dan aspirasi Malaysia MADANI, di samping menyokong obligasi antarabangsa seperti UNCAC. Segala dapatan yang dikumpulkan daripada sesi ini akan dimanfaatkan untuk penambahbaikan sistem secara menyeluruh sebelum SPINE diperluas ke peringkat nasional. IIM yakin, penerapan SPINE secara strategik akan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam, mengukuhkan reputasi negara, dan menyumbang kepada matlamat Malaysia untuk berada dalam kelompok 25 negara teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.





