JKMM Terajui Pelaksanaan SPINE, Jadi Penanda Aras Pelaksanaan Integriti dan Governans di Melaka
Melaka, 10 September 2026 – Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) telah melaksanakan Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan SPINE bersama IIM sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengurusan integriti, governans dan pencegahan rasuah di peringkat jabatan. Pelaksanaan ini turut meletakkan JKMM sebagai peneraju penilaian SPINE di Melaka, sekali gus menjadi menjadi pemangkin kepada jabatan dan agensi lain untuk menyusuli pelaksanaan SPINE dalam usaha memperluas agenda pelaksanaan integriti dan governans di peringkat pentadbiran negeri Melaka.
Dalam ucapan pembukaan, Puan Anuradah a/p Socklingam, Ketua Unit Integriti JKMM, menekankan bahawa setiap inisiatif integriti yang dilaksanakan perlu memberi kesan sebenar kepada organisasi dan bukan sekadar memenuhi keperluan penilaian. Pendekatan ini penting bagi memastikan nilai integriti dan governans benar-benar diterapkan dalam amalan kerja, proses membuat keputusan serta pelaksanaan tugas harian warga JKMM. Sesi ini turut memberi ruang kepada jabatan untuk menilai keberkesanan inisiatif sedia ada serta mengenal pasti aspek yang masih boleh diperkukuhkan.
Sesi diketuai oleh Encik Meor Shahram Faiz bin Mieor Shariman dan dibantu oleh Encik Nabil Eiman Azman dari Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam, IIM. Sepanjang sesi, pasukan penilai menyemak dokumen dan mendapatkan penjelasan daripada pegawai berkaitan bagi mengesahkan pelaksanaan setiap elemen SPINE. Sesi turut disusuli dengan lawatan ke bilik kaunseling JKMM bagi melihat kemudahan yang disediakan untuk menyokong aspek konsultasi, pengurusan kes dan kerahsiaan warga JKMM.
Maklum balas dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan diharap dapat membantu JKMM dan menjadi asas dalam merangka tindakan susulan yang lebih berfokus dan praktikal, sekali gus memperkukuh momentum pembudayaan integriti dan governans dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka.
Shamsul Azri bin Abu Bakar
Jabatan Perdana Menteri
Jabatan Perkhidmatan Awam
Kementerian Komunikasi