Putrajaya, 4 Ogos 2026 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menjadi agensi pertama di bawah Kementerian Ekonomi yang telah selesai melaksanakan Sesi Penilaian Lapangan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang berlangsung di Ibu Pejabat ECERDC, Putrajaya. Sesi dimulakan dengan majlis pembukaan yang disempurnakan oleh YBrs. Encik Syamsul Farizz Nadzeri, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC bersama-sama dengan barisan Pengarah-pengarah Bahagian ECERDC. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pengamalan integriti bukan sekadar melalui pensijilan, tetapi ianya perlu menjadi struktur asas dan panduan dalam pembudayaan integriti dan governans.
Sesi diteruskan dengan penilaian lapangan yang diketuai oleh Encik Nabil Eiman Azman, selaku Penilai Pertama dan dibantu oleh Puan Nurul Fadzliyanie binti Mohd Razif dan Puan Fara Hasda binti Suhaimi, yang juga merupakan Konsultan Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam (PISPA), IIM.
Kerjasama penuh daripada para pegawai ECERDC, terutama Encik Aznan Yahya, Ketua Audit Dalam yang memangku tugasan Ketua Unit Integriti (IGU) sangat membantu melancarkan sesi penilaian ini. Sesi temubual bersama-sama dengan warga ECERDC yang memberi penerangan jelas dan lawatan tapak turut dilaksanakan sebagai salah satu pembuktian fizikal bagi elemen berkaitan dalam sistem SPINE.
Melalui sesi-sesi ini, dapatan semakan, pembuktian dokumen dan syor penambahbaikan berkaitan elemen-elemen tertentu yang dikenalpasti diharap dapat menjadi nilai tambah kepada pihak ECERDC dalam memperkukuhkan lagi mutu kerja dan tadbir urus dengan lebih telus dan berintegriti.










