IIM PERKUKUH KEPAKARAN PELAKSANAAN CIB MELALUI BENGKEL TRAINING OF TRAINERS (ToT) DI SARAWAK
KUCHING, 27 Oktober 2026 – Institut Integriti Malaysia (IIM) menerusi Pusat Pembangunan Integriti Komuniti (PPIK), dengan kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), menganjurkan Bengkel Training of Trainers (ToT) Program Community Integrity Building (CIB) pada 26 hingga 27 Oktober 2026 di Kuching, Sarawak.
Bengkel ini menghimpunkan wakil daripada tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sarawak yang pernah terlibat dalam pelaksanaan CIB sejak tahun 2022, sebagai usaha memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan keupayaan pegawai dalam mengaplikasikan metodologi CIB secara lebih sistematik dan berkesan.
Sepanjang bengkel, peserta diberikan pendedahan menyeluruh mengenai lima fasa pelaksanaan CIB, meliputi Kepekaan Konteks, Pembelajaran Bersepadu, Pengesahan dan Analisis, Penglibatan Membina serta Melengkapkan Kitaran. Sesi turut diperkukuh melalui perbincangan berkumpulan, latihan praktikal dan perkongsian pengalaman pelaksanaan di peringkat PBT.
Penganjuran ini menjadi langkah strategik IIM dalam membangunkan kumpulan pegawai rujukan (focal person) di setiap PBT, sekali gus memastikan kesinambungan pelaksanaan CIB secara lebih berdikari, seragam dan mampan.
Melalui sinergi IIM, UNIONS dan MPHLG, pelaksanaan CIB di Sarawak terus diperkasakan bagi memperkukuh penglibatan komuniti, meningkatkan akauntabiliti serta membudayakan integriti dalam penyampaian perkhidmatan PBT.















