2 November 2026 | Kuala Lumpur
Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi September dan Oktober 2026 bertempat di Dewan Murni, IIM, bersama YBhg. Datuk Seri Noridah binti Abdul Rahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM.
Berteraskan tema “Integriti Kita, Nilai Kita”, perhimpunan ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh iltizam warga IIM terhadap pembudayaan integriti, pemantapan tadbir urus serta penghayatan nilai dan etika kerja selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam amanatnya, YBhg. Datuk Seri Noridah menekankan bahawa integriti bukan sekadar pematuhan terhadap peraturan dan prosedur, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kejujuran, amanah, disiplin serta kebertanggungjawaban dalam melaksanakan setiap tugas.
Sehubungan itu, beliau menggariskan kepentingan memperkukuh sinergi antara Good Governance dan Human Governance sebagai asas pembentukan budaya kerja yang beretika, telus dan berakauntabiliti. Penekanan turut diberikan terhadap kerjasama rentas bahagian, kepimpinan yang berprinsip serta amalan kerja berteraskan tiga prinsip pelaksanaan, iaitu Memudahkan, Menyesuaikan dan Menyegerakan, tanpa berkompromi terhadap prinsip integriti.
Beliau turut menyentuh peranan strategik IIM dalam memperkasa agenda pembudayaan integriti negara menerusi Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES), yang memberi tumpuan kepada pembangunan insan berintegriti, pengukuhan institusi beretika serta peluasan budaya integriti dalam kalangan masyarakat.
Mengakhiri amanat, beliau mengingatkan bahawa pembudayaan integriti perlu bermula daripada diri sendiri sebelum dapat diterjemahkan secara menyeluruh dalam organisasi dan seterusnya kepada masyarakat. Setiap warga IIM perlu menjadi teladan dalam menjunjung nilai amanah, profesionalisme dan akauntabiliti bagi memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi.
Perhimpunan turut diisi dengan tayangan montaj pencapaian IIM sepanjang September dan Oktober 2026, sesi penyampaian KESKIM serta sambutan hari lahir warga IIM bagi kedua-dua bulan berkenaan.
Perhimpunan ini sekali gus memperteguh komitmen seluruh warga IIM untuk terus bergerak seiring dalam membina organisasi berintegriti, memperkukuh kecemerlangan penyampaian perkhidmatan dan mendukung agenda pembudayaan integriti negara.













