Kuala Lumpur, 16 Jun 2026 – Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menerima kunjungan hormat daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, YBhg. Datuk Ir Abdul Nasser bin Abdul Wahid. Kunjungan ini merupakan platform strategik untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua organisasi, khususnya dalam usaha memperkasakan budaya integriti, tadbir urus yang baik serta pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berteraskan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Delegasi ECoS turut disertai oleh Puan Ernie Binti Zainie, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat); Muhammad Shaifful Adl Bin Awang, Ketua Unit Integriti dan Governan; Fatin Wada’ah Ahmad Ramli, Eksekutif Unit Integriti dan Governan; serta Raziq Bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah merangkap Pegawai Khas Ketua Pegawai Eksekutif. Delegasi tersebut telah disambut oleh YBhg. Datuk Seri Noridah binti Abdul Rahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM bersama barisan pengurusan tertinggi IIM iaitu Puan Eizan Azura binti Zainudin, Ketua Pegawai Sektor Strategi; Encik Harisham bin Ibrahim, Ketua Pegawai Sektor Operasi; Encik Zubayry Abady bin Sofian, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat; dan Encik Mohd Rais bin Ramli, Pengarah Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam.
Sesi kunjungan ini turut memberi ruang kepada IIM untuk berkongsi penerangan berhubung pelaksanaan Corporate Integrity System Malaysia (CISM) sebagai kerangka pembangunan integriti organisasi yang komprehensif, di samping memperkenalkan Individual Integrity Profile (IIP) sebagai instrumen pengukuran tahap pembudayaan integriti dan tadbir urus dalam sesebuah organisasi. Selain itu, delegasi ECoS turut diberi pendedahan mengenai penyertaan dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) yang mengiktiraf organisasi yang berjaya mempamerkan kecemerlangan dalam aspek integriti, governans dan pencegahan rasuah. Perkongsian ini diharap dapat membuka peluang kerjasama yang lebih luas serta menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh ekosistem integriti yang mampan dan berimpak tinggi di Sabah serta Malaysia secara keseluruhannya.
















