Institut Integriti Malaysia (IIM) melalui Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam (PISPA) telah berjaya melaksanakan Sesi Libat Urus Galakan Penyertaan Program Corporate Integrity System Malaysia (CISM) bertempat di Perpustakaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Putrajaya.
Program anjuran KPKM ini bertujuan memperkukuh pembudayaan tatakelola yang telus, di samping memberi pendedahan awal CISM kepada 36 syarikat, vendor, dan kontraktor di bawah KPKM. Sesi ini turut memperjelaskan peranan, langkah-langkah pelaksanaan dan manfaat penyertaan CISM termasuklah jenis pengiktirafan terhadap komitmen syarikat dalam memperkukuhkan amalan integriti dan tadbir urus yang baik.
Sesi Taklimat CISM ini telah disampaikan oleh Encik Mohd Rais bin Ramli, Pengarah PISPA, IIM dengan kehadiran 36 orang peserta mewakili syarikat masing-masing.
Pelaksanaan sesi ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lonjakan kesedaran dan pematuhan tatakelola yang cemerlang dalam rantaian perolehan, sekali gus membina jaringan ekosistem perniagaan yang teguh integriti dan mampan di Malaysia.








