Kajang, 26 Ogos 2026 – Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan bagi Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) di Unit Integriti, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bertempat di Ibu Pejabat AADK.
Sesi ini dilaksanakan bersama Unit Integriti AADK sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang sedang diguna pakai oleh agensi awam bagi memperkukuh pengurusan integriti, pematuhan serta tadbir urus organisasi secara lebih menyeluruh dan berstruktur.
Pelaksanaan sesi dimulakan dengan sesi pembukaan bersama Unit Integriti AADK. Seterusnya, sesi diteruskan dengan semakan dokumen, konsultasi dan perbincangan bersama barisan konsultan penilai Institut Integriti Malaysia (IIM). Melalui sesi ini, dapatan semakan serta syor penambahbaikan yang dikenal pasti diharap dapat menjadi nilai tambah kepada AADK dalam memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan berintegriti, sejajar dengan komitmen ke arah tadbir urus sektor awam yang lebih mantap dan berimpak.
Sesi ini dikendalikan oleh barisan konsultan penilai IIM yang diketuai oleh Puan Nurul Fadzliyanie binti Mohd Razif, bersama En. Nabil Eiman bin Azman dan En. Muhammad Rasyid bin Mohammad Rohim. Sesi semakan dan konsultasi lapangan ini turut dihadiri oleh warga Unit Integriti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).









