Institut Integriti Malaysia (IIM) telah berjaya menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) Pembangunan Indeks Integriti Malaysia (InTeM) yang menghimpunkan 118 wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
Majlis telah disempurnakan dengan ucapan aluan oleh Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, yang menekankan kepentingan InTeM sebagai instrumen strategik bagi mengukur tahap integriti dan tadbir urus negara secara menyeluruh. Malah InTeM juga dapat digunakan untuk mengukur pencapaian pelaksanaan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES).
Turut berlangsung ialah pembentangan oleh Puan Eizan Azura Zainuddin, Ketua Pegawai Sektor Strategi IIM, yang menjelaskan pembangunan InTeM, metodologi pengukuran serta kepentingan data rasmi daripada kementerian, jabatan dan agensi dalam memastikan indeks yang dibangunkan adalah tepat, komprehensif dan berasaskan bukti.
Institut Integriti Malaysia (IIM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kementerian, jabatan dan agensi yang telah menghadiri serta memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan Sesi Libat Urus Pembangunan Indeks Integriti Malaysia (InTeM). Penyertaan dan sokongan semua pihak merupakan pemangkin penting dalam memastikan pembangunan InTeM dapat dilaksanakan secara komprehensif, berasaskan data yang sahih serta menjadi penanda aras nasional dalam mengukur tahap integriti dan tadbir urus negara. Semoga jalinan kerjasama strategik ini terus diperkukuh demi merealisasikan agenda pembudayaan integriti dan tadbir urus yang cemerlang di Malaysia.










