Kursus Etika Kerja telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian pada 21 Mei 2026 sebagai salah satu inisiatif Institut Integriti Malaysia dalam memperkukuhkan budaya kerja berintegriti serta meningkatkan prestasi kerja dalam pelaksanaan norma kerja semasa termasuk amalan Bekerja Dari Rumah (BDR).
Penganjuran kursus secara dalam talian ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman peserta berkaitan kepentingan etika kerja, nilai integriti serta tanggungjawab profesional dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti walaupun dalam persekitaran kerja yang fleksibel.
Bagi sesi pertama pelaksanaan kursus ini, seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada wakil sektor kerajaan dan swasta telah mendaftar dan menyertai program ini. Penyertaan daripada pelbagai sektor ini telah mewujudkan platform perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan cabaran pelaksanaan etika kerja serta pengukuhan integriti dalam organisasi masing-masing.
Kursus ini telah dikendalikan oleh Encik Ruben Raj Samuel bersama Encik Rasyid daripada Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam. Sepanjang sesi berlangsung, peserta telah didedahkan kepada pelbagai aspek berkaitan etika kerja, pembudayaan integriti di tempat kerja, nilai profesionalisme serta peranan individu dalam memastikan kecemerlangan organisasi melalui amalan kerja yang beretika.
Pelaksanaan kursus ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada peserta dalam memperkukuhkan penghayatan etika kerja dan integriti, seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti, akauntabiliti serta kecemerlangan penyampaian perkhidmatan dalam organisasi masing-masing.







