Kursus Etika dan Integriti telah berjaya dilaksanakan pada 19 Mei 2025 dengan kerjasama Leadership Institute of Sarawak Civil Service. Program ini telah diadakan di Raia Hotel & Convention Centre Kuching dan bertujuan untuk meningkatkan pemahaman serta kesedaran peserta terhadap kepentingan etika kerja, nilai integriti dan pembudayaan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam.
Seramai 30 orang peserta telah menghadiri kursus ini yang terdiri daripada wakil pelbagai agensi dan jabatan Kerajaan Negeri Sarawak. Penyertaan pelbagai latar belakang jabatan ini telah mewujudkan sesi perkongsian yang interaktif serta memberi ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan berkaitan cabaran dan amalan integriti dalam organisasi masing-masing.
Kursus ini telah dikendalikan oleh Encik Ruben Raj Samuel, Konsultan daripada Institut Integriti Malaysia. Sepanjang sesi berlangsung, peserta telah didedahkan kepada pelbagai aspek berkaitan etika kerja, integriti dalam organisasi, kepentingan nilai-nilai murni dalam pelaksanaan tugas serta peranan individu dalam memperkukuhkan budaya integriti di tempat kerja.
Pelaksanaan kursus ini diharapkan dapat membantu peserta memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan terhadap prinsip etika dan integriti, seterusnya menyumbang kepada peningkatan profesionalisme serta penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berintegriti dan berkesan.










