Lawatan ke Singapura telah dimulakan dengan kunjungan ke 𝘚𝘪𝘯𝘨𝘢𝘱𝘰𝘳𝘦 𝘜𝘯𝘪𝘷𝘦𝘳𝘴𝘪𝘵𝘺 𝘰𝘧 𝘚𝘰𝘤𝘪𝘢𝘭 𝘚𝘤𝘪𝘦𝘯𝘤𝘦𝘴(𝘚𝘜𝘚𝘚). Pertemuan telah diadakan dengan Profesor Soh Kee Hean, iaitu pensyarah di SUSS yang mempunyai pengalaman luas dan kepakaran dalam bidang teknologi dan jenayah, kongsi gelap dan rasuah, tadbir urus korporat dan etika, serta pengubahan wang haram. Beliau juga pernah bertugas di dalam sektor penguatkuasaan undang-undang di Singapura termasuk dalam 𝘚𝘪𝘯𝘨𝘢𝘱𝘰𝘳𝘦 𝘗𝘰𝘭𝘪𝘤𝘦 𝘍𝘰𝘳𝘤𝘦 (𝘚𝘗𝘍) dan 𝘊𝘰𝘳𝘳𝘶𝘱𝘵 𝘗𝘳𝘢𝘤𝘵𝘪𝘤𝘦𝘴 𝘐𝘯𝘷𝘦𝘴𝘵𝘪𝘨𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘉𝘶𝘳𝘦𝘢𝘶 (𝘊𝘗𝘐𝘉).
Menurut beliau, sistem penguatkuasaan undang-undang di Singapura berasaskan prinsip 𝘳𝘶𝘭𝘦 𝘰𝘧 𝘭𝘢𝘸, ketegasan, dan integriti institusi. Ia diketuai oleh beberapa agensi utama seperti 𝘚𝘪𝘯𝘨𝘢𝘱𝘰𝘳𝘦 𝘗𝘰𝘭𝘪𝘤𝘦 𝘍𝘰𝘳𝘤𝘦 (𝘚𝘗𝘍), 𝘊𝘰𝘳𝘳𝘶𝘱𝘵 𝘗𝘳𝘢𝘤𝘵𝘪𝘤𝘦𝘴 𝘐𝘯𝘷𝘦𝘴𝘵𝘪𝘨𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘉𝘶𝘳𝘦𝘢𝘶 (𝘊𝘗𝘐𝘉), 𝘊𝘰𝘮𝘮𝘦𝘳𝘤𝘪𝘢𝘭 𝘈𝘧𝘧𝘢𝘪𝘳𝘴 𝘋𝘦𝘱𝘢𝘳𝘵𝘮𝘦𝘯𝘵 (𝘊𝘈𝘋) dan 𝘊𝘦𝘯𝘵𝘳𝘢𝘭 𝘕𝘢𝘳𝘤𝘰𝘵𝘪𝘤𝘴 𝘉𝘶𝘳𝘦𝘢𝘶 (𝘊𝘕𝘉), di bawah penyelarasan 𝘈𝘵𝘵𝘰𝘳𝘯𝘦𝘺-𝘎𝘦𝘯𝘦𝘳𝘢𝘭’𝘴 𝘊𝘩𝘢𝘮𝘣𝘦𝘳𝘴 (𝘈𝘎𝘊) sebagai pendakwa utama. Rangka perundangan yang kukuh seperti 𝘗𝘦𝘯𝘢𝘭 𝘊𝘰𝘥𝘦, 𝘗𝘳𝘦𝘷𝘦𝘯𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘰𝘧 𝘊𝘰𝘳𝘳𝘶𝘱𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘈𝘤𝘵 (𝘗𝘊𝘈) dan 𝘔𝘪𝘴𝘶𝘴𝘦 𝘰𝘧 𝘋𝘳𝘶𝘨𝘴 𝘈𝘤𝘵 (𝘔𝘋𝘈) memberikan kuasa siasatan dan pendakwaan yang jelas, disokong oleh mahkamah bebas yang memastikan keadilan dilaksanakan secara profesional.
Proses penguatkuasaan dijalankan secara sistematik daripada penerimaan laporan, siasatan forensik, pendakwaan hingga hukuman dengan penggunaan teknologi, data analitik dan pengawasan pintar bagi meningkatkan keberkesanan. CPIB memainkan peranan penting dalam membanteras rasuah dengan melapor terus kepada Pejabat Perdana Menteri, menjamin kebebasan siasatan. Selain itu, mekanisme kawal selia seperti 𝘈𝘶𝘥𝘪𝘵𝘰𝘳-𝘎𝘦𝘯𝘦𝘳𝘢𝘭’𝘴 𝘖𝘧𝘧𝘪𝘤𝘦 (𝘈𝘎𝘖), saluran whistleblowing dan laporan awam tahunan memperkukuh akauntabiliti serta ketelusan kerajaan.
Pada tahun 2010, 𝘔𝘪𝘯𝘪𝘴𝘵𝘳𝘺 𝘰𝘧 𝘏𝘰𝘮𝘦 𝘈𝘧𝘧𝘢𝘪𝘳𝘴 Singapura telah memperkenalkan ‘𝘏𝘰𝘮𝘦-𝘛𝘦𝘢𝘮’. ‘𝘏𝘰𝘮𝘦-𝘛𝘦𝘢𝘮’ adalah satu rangkaian organisasi dan komuniti yang diwujudkan untuk menyokong keselamatan awam, pertahanan sivil, dan komuniti penguatkuasaan undang-undang. Ia berperanan sebagai platform integrasi antara agensi keselamatan, pegawai sukarela, dan rakyat biasa bagi meningkatkan keselamatan, integriti, dan kerjasama sosial.
Selain undang-undang, keberkesanan sistem ini banyak dipengaruhi oleh budaya integriti dan disiplin tinggi dalam perkhidmatan awam Singapura, termasuk struktur gaji kompetitif dan dasar “𝘻𝘦𝘳𝘰 𝘵𝘰𝘭𝘦𝘳𝘢𝘯𝘤𝘦” terhadap salah laku. Reformasi perkhidmatan awam di Singapura juga dilaksanakan secara berterusan dengan matlamat untuk mengekalkan kecekapan, integriti dan daya saing global sektor awam. Pendekatan yang bersepadu, cepat dan tegas menjadikan kadar jenayah dan rasuah sangat rendah, sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Secara keseluruhannya sistem penguatkuasaan Singapura dianggap antara paling efisien di dunia. Namun penerapan integriti masih perlu dipertingkatkan dalam diri masyarakat Singapura kerana kebanyakkan rakyat bertindak dengan berintegriti kerana takut kepada hukuman yang ditetapkan oleh undang-undang sahaja.
#InstitutIntegritiMalaysia
#KomitedMembudayakanIntegriti