Mesyuarat Penyelarasan dan Taklimat berkaitan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) telah diadakan pada 27 Januari 2025 melibatkan penyertaan wakil-wakil Unit Integriti Kementerian serta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Mesyuarat ini diadakan susulan pengeluaran Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2025: Panduan Pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) dalam Sektor Awam, dengan tujuan memaklumkan peranan Unit Integriti dalam menyelaras pelaksanaan SPINE di peringkat kementerian dan pentadbiran negeri. Sesi telah dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Mona binti Othman, Ketua Pegawai Sektor Korporat yang menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM).
Taklimat utama mengenai pelaksanaan dan konsep SPINE telah disampaikan oleh Encik Zubayry Abady bin Sofian, Pengarah Pusat Integriti Sektor Awam. SPINE berperanan sebagai alat semakan kendiri yang mampu menilai tahap kesediaan dan kecekapan agensi secara sistematik tanpa kebergantungan kepada pensijilan luar.
Wakil dari Unit Integriti Pulau Pinang yang telah berkongsi pengalaman pelaksanaan SPINE di peringkat pentadbiran negeri serta agensi dan jabatan di bawahnya. Perkongsian ini memberi gambaran jelas tentang pendekatan praktikal dan kesan langsung pelaksanaan SPINE terhadap pengukuhan tadbir urus dan integriti organisasi.
Wakil-wakil yang hadir menyambut baik inisiatif ini dan menunjukkan minat yang tinggi terhadap pendekatan yang diketengahkan. Beberapa kementerian dan negeri turut menyatakan komitmen awal untuk menjemput IIM bagi melaksanakan SPINE dalam pentadbiran masing-masing sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam sektor awam.





