Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menerima kunjungan daripada para pelajar INTI International University bagi sesi temu bual bersama Puan Eizan Azura binti Zainudin, Ketua Pegawai Sektor Strategik, IIM pada 8 Oktober 2026.
Sesi temu bual ini bertujuan memberikan pendedahan dan pemahaman yang lebih mendalam kepada para pelajar mengenai kepentingan integriti, nilai etika serta peranan pelbagai pihak dalam membentuk masyarakat yang berintegriti dan bebas daripada amalan rasuah.
Sepanjang sesi berlangsung, pelbagai pandangan dan perspektif telah dikongsikan, khususnya mengenai kepentingan memahami risiko rasuah, mengamalkan nilai integriti dalam kehidupan seharian serta memperkukuh tadbir urus yang baik melalui penerapan prinsip etika dan amanah.
Sesi ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) kepada para pelajar, khususnya dalam memberikan pemahaman mengenai usaha memperkukuh pembudayaan integriti di peringkat nasional.
IIM amat berbesar hati dapat berkongsi pengetahuan dan pandangan menerusi sesi ini. Diharapkan perkongsian tersebut dapat memberikan manfaat kepada para pelajar dalam pembelajaran dan penyelidikan, di samping menyemai kesedaran bahawa integriti bukan sekadar nilai yang perlu difahami, malah merupakan prinsip yang perlu diterjemahkan dalam tindakan dan amalan kehidupan seharian.









