Putrajaya, 12 Ogos 2026 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melaksanakan Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan SPINE bersama IIM sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem integriti dan governans kementerian secara menyeluruh. Pelaksanaan SPINE selari dengan visi KPT untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan yang unggul, dengan memastikan kecemerlangan sektor pendidikan tinggi turut disokong oleh sistem pengurusan yang telus, berakauntabiliti dan berintegriti.
Sepanjang sesi, komitmen warga KPT membolehkan proses semakan dilaksanakan secara teliti terhadap dokumen pembuktian serta amalan pelaksanaan sebenar. Ini mencerminkan usaha KPT untuk memastikan integriti diterapkan menjadi sebahagian daripada budaya kerja,pengurusan serta penyampaian perkhidmatan kementerian. Pendekatan ini menyokong misi KPT dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi menerusi pemerkasaan bakat dan pengetahuan bagi mencapai kesejahteraan masyarakat serta kemajuan negara yang mampan.
Sesi penilaian diketuai oleh Encik Meor Shahram Faiz bin Mieor Shariman bersama Encik Nabil Eiman Azman dan Encik Nur Imran bin Mohd Shaili dari PISPA, IIM. Pasukan penilai turut memberi konsultasi serta input konstruktif yang disambut baik oleh Ketua Unit Integriti KPT, YBrs. PPj Mohd Fairul Aswan bin Salleh,bagi memperkukuh lagi sistem pengurusan integriti dan governans kementerian.
Dapatan dan syor penambahbaikan daripada sesi SPINE diharapkan dapat menjadi nilai tambah kepada KPT dalam memperkemas kawalan dalaman, pelaksanaan dasar serta prosedur berkaitan integriti, sekali gus memastikan ekosistem pendidikan tinggi dipacu oleh tadbir urus budaya integriti yang kukuh, serta menjadi contoh rujukan dan penanda aras kepada institusi pendidikan lain di Malaysia.










