Putrajaya, 5 Oktober 2026 – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan SPINE bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai usaha memperkukuh integriti dan governans dalam penyampaian perkhidmatan veterinar negara, merangkumi fungsi pentadbiran, teknikal dan penguatkuasaan.
Dalam perutusan pembukaan, pihak DVS menegaskan bahawa integriti merupakan teras penting dalam setiap fungsi dan perkhidmatan jabatan. Komitmen ini turut diperkukuh melalui direktif YBhg. Datuk Dr. Mohd Noor Hisham bin Mohd Haron, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, supaya semua Bahagian dan Unit memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan SPINE bagi memastikan integriti dan governans terus menjadi keutamaan organisasi.
Sesi ini dikendalikan oleh tiga pegawai Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam, IIM iaitu Encik Nabil Eiman bin Azman, Encik Nur Imran bin Mohd Shaili dan Encik Muhammad Rasyid bin Mohammad Rohim. Sepanjang sesi, pasukan IIM melaksanakan semakan dokumen, penelitian bukti serta konsultasi bersama pegawai berkaitan bagi mengesahkan pelaksanaan elemen SPINE dan mengenal pasti ruang penambahbaikan.
Maklum balas serta cadangan penambahbaikan daripada IIM diharap dapat membantu DVS memperkukuh integriti dan governans secara berterusan, sekali gus memastikan nilai tersebut diterapkan dalam budaya kerja dan penyampaian perkhidmatan jabatan.









