5 November 2026 7:09 pm

KONVENSYEN INTEGRITI NASIONAL (KIN) 2026: INTEGRITI KITA, NILAI KITA!

MEMPERKUKUH KEPIMPINAN, MEMBUDAYAKAN INTEGRITI, MEMBINA GENERASI BERPRINSIP


SHAH ALAM, 5 November 2026 – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Konvensyen Integriti Nasional (KIN) 2026 serta pelancaran buku “Kepimpinan Sultan Selangor dalam Integriti, Tatakelola dan Kesejahteraan Negeri: Daulat Tuanku” di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam. Keberangkatan Baginda mewakili DYMM Sultan Selangor mencerminkan sokongan institusi diraja terhadap pengukuhan kepimpinan berintegriti dan tatakelola yang baik.


Bertemakan “INTEGRITI KITA, NILAI KITA”, konvensyen anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) bersempena Sambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN 2026) ini turut mengetengahkan Sesi Bicara Integriti “Integriti Tanpa Kompromi: Keberanian, Amanah dan Kepimpinan”, serta forum utama “Integriti Bermula dari Rumah: Memupuk Nilai ke Arah Masyarakat yang Sejahtera” yang menekankan peranan kepimpinan dan institusi keluarga dalam membentuk masyarakat beramanah, beretika dan bertanggungjawab.

Perbincangan turut diperkukuh menerusi empat kluster utama yang menyentuh cabaran integriti masa kini:


Pendidikan – Transformasi sistem pendidikan berteraskan nilai dan pembentukan sahsiah.
Ekonomi – Keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, etika dan tanggungjawab kewangan.
Sains, Teknologi dan Inovasi – Cabaran integriti dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.
Belia – Peranan media sosial sebagai pemangkin atau cabaran kepada pembudayaan integriti generasi muda.


Pelancaran buku “Kepimpinan Sultan Selangor dalam Integriti, Tatakelola dan Kesejahteraan Negeri: Daulat Tuanku” pula mengetengahkan pemikiran dan prinsip kepimpinan DYMM Sultan Selangor berkaitan amanah, tatakelola, perpaduan dan kesejahteraan rakyat, berdasarkan titah serta amanat Baginda sepanjang tempoh 2002 hingga 2026.


Selaras dengan aspirasi Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES), IIM turut memperkukuh usaha penerapan nilai integriti seawal usia melalui Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) bagi kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun. Pelaksanaan modul ini disasarkan untuk diperluas kepada lebih 31,000 premis TASKA, TADIKA dan prasekolah, melibatkan kira-kira 775,000 kanak-kanak menjelang 2030.


Penganjuran Konvensyen Integriti Nasional (KIN) 2026 dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Perbendaharaan Negeri Selangor mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan agenda pembudayaan integriti secara menyeluruh.


Integriti bukan sekadar slogan atau sambutan tahunan, tetapi nilai yang perlu diterjemahkan melalui setiap keputusan, tindakan dan amanah yang dipikul.


Ayuh bersama-sama menjadikan integriti sebagai budaya hidup demi membina masyarakat yang berprinsip, institusi yang dipercayai dan negara yang sejahtera!


INTEGRITI KITA, NILAI KITA!

Newsletter

Anda telah berjaya melanggan! Aduh! Kesilapan telah berlaku, sila cuba lagi.
Ikuti sosial media kami

Berita Terkini

  • All Post
  • Berita

Media Sosial

JUMLAH HARI INI : 537
JUMLAH PELAWAT : 505186

Diperakui

Hubungi

© 2026 Institut Integriti Malaysia (IIM) 200401005949 (644452-P). Hakcipta Terpelihara. Paparan terbaik: Mozilla Firefox, Chrome, Internet Explorer 11 ke atas dengan resolusi 1250 x 768. Tarikh dikemaskini pada : 5 November 2026

Skip to content