JOHOR BAHRU, 28 Oktober 2026 – Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) telah mengambil langkah proaktif dalam pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) menerusi Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan yang telah selesai diadakan di Bilik Mesyuarat BPKR, Aras 3, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Pejabat SUK Johor. Pelaksanaan ini menggambarkan kesungguhan Pejabat SUK Johor dalam memantapkan pembudayaan integriti, memperkukuh tadbir urus yang baik dan meningkatkan ketelusan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam Negeri Johor.
Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YM Ungku Suzana binti Ungku Mohammad, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan) dan disertai oleh barisan pegawai kanan SUKJ. Dalam ucapannya, beliau menegaskan pelaksanaan SPINE merupakan satu komitmen penting dan keutamaan bagi Pejabat SUKJ dalam menjayakan agenda reformasi perkhidmatan awam, selaras dengan pematuhan arahan Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2025 dan sebagai satu platform pemeriksaan kesihatan integriti bagi mengenalpasti jurang dan ruang penambahbaikan.
Sesi diteruskan dengan semakan dokumen sokongan, temubual bersama-sama dengan pegawai yang menguruskan integriti, tadbir urus dan antirasuah serta lawatan ke lokasi ruang kerja di SUKJ. Penyediaan dokumen sokongan yang lengkap melancarkan lagi sesi penilaian ini, yang diketuai oleh Puan Nurul Fadzliyanie binti Mohd Razif dan dibantu oleh Puan Fara Hasda binti Suhaimi, Konsultan Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam (PISPA), Institut Integriti Malaysia (IIM).
Dapatan daripada sesi semakan dan konsultasi lapangan SPINE ini diharap menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, memperkemas tadbir urus, pengamalan nilai-nilai integriti yang tinggi dan pemantapan pengurusan aset awam di Negeri Johor.












