Pulau Pinang, 14 Oktober 2026 – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah melaksanakan Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan SPINE bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai usaha memperkukuh integriti dan governans dalam pengurusan serta penyampaian perkhidmatan perbandaran. Pelaksanaan ini selaras dengan aspirasi MBPP untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar raya yang harmoni dan progresif, di samping memastikan pembangunan yang seimbang serta kesejahteraan masyarakat terus diberi keutamaan.
Di bawah kepimpinan YBhg. Dato’ Ir. Rajendran P. Anthony, Datuk Bandar MBPP, usaha memperkukuh integriti dan governans turut didukung oleh komitmen majlis terhadap amalan urus tadbir baik, pematuhan standard perkhidmatan serta pelaksanaan pendekatan No Wrong Door Policy. Penekanan ini penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan responsif, khususnya dalam pengurusan kemudahan awam, pembangunan bandar, pemeliharaan alam sekitar serta penglibatan komuniti.
Sesi ini dikendalikan oleh dua pegawai daripada Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam, IIM iaitu Encik Muhammad Rasyid bin Mohammad Rohim dan Encik Nabil Eiman bin Azman. Sepanjang sesi, pasukan IIM melaksanakan semakan dokumen, penelitian bukti serta konsultasi bersama pegawai berkaitan bagi mengesahkan pelaksanaan elemen SPINE, di samping mengenal pasti kekuatan dan ruang penambahbaikan dalam pengurusan integriti dan governans MBPP.
Maklum balas serta cadangan penambahbaikan daripada IIM diharap dapat membantu MBPP memperkukuh pembudayaan integriti dan governans secara berterusan, khususnya dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, pengurusan pembangunan bandar serta kepercayaan masyarakat terhadap pentadbiran pihak berkuasa tempatan.















