Pulau Pinang, 15 Oktober 2026– Jabatan Taman Botani Pulau Pinang (JTBPP) telah melaksanakan Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan SPINE bersama IIM sebagai usaha memperkukuh integriti dan governans dalam pengurusan serta pemeliharaan warisan alam semula jadi. Pelaksanaan ini selaras dengan visi JTBPP untuk menghubungkan manusia dengan alam warisan semula jadi, di samping memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan bertanggungjawab.
Di bawah kepimpinan Encik Mohamad Hasbi Ash-Shiddieqy bin Ahmad, Pengarah JTBPP, jabatan memberi tumpuan kepada pemuliharaan kepelbagaian biologi, penyelidikan botani, pembangunan rekreasi dan pelancongan serta peningkatan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat. Pelaksanaan SPINE menjadi ruang untuk meneliti bagaimana amalan integriti dan governans dapat menyokong pengurusan sumber, pelaksanaan program serta kerjasama dengan pihak berkepentingan secara lebih telus dan berkesan.
Sesi ini dikendalikan oleh dua pegawai daripada Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam, IIM iaitu Encik Muhammad Rasyid bin Mohammad Rohim dan Encik Nabil Eiman bin Azman. Sepanjang sesi, pasukan IIM melaksanakan semakan dokumen, penelitian bukti serta konsultasi bersama pegawai berkaitan bagi mengesahkan pelaksanaan elemen SPINE, di samping mengenal pasti kekuatan dan ruang penambahbaikan dalam pengurusan integriti dan governans JTBPP.
Maklum balas serta cadangan penambahbaikan daripada IIM diharap dapat membantu JTBPP memperkukuh integriti dan governans secara berterusan, khususnya dalam pengurusan pemuliharaan, penyelidikan dan perkhidmatan kepada pengunjung, sekali gus menyokong usaha memelihara khazanah alam semula jadi untuk generasi akan datang.










