13 August 2026 5:50 pm

JKR Pahang Terajui Pelaksanaan SPINE, Mendahului Kementerian dan JKR Lain

Pahang, 10 Ogos 2026 – Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang melakar sejarah apabila menjadi JKR pertama melaksanakan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) melalui Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan, sekali gus mendahului pelaksanaan di peringkat kementerian serta JKR negeri lain. Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan JKR Pahang dalam memperkukuh ekosistem integriti dan governans secara menyeluruh, selaras dengan peranan jabatan sebagai perunding utama Kerajaan Malaysia dalam memastikan penyampaian projek dan perkhidmatan penyenggaraan dilaksanakan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan, di samping memaksimumkan nilai serta faedah aset awam.

Sesi secara hibrid ini disertai oleh semua Ketua Bahagian dan Jurutera Daerah JKR Pahang serta dimulakan dengan kata aluan oleh YBrs. Ir. Haji Rosnan Hussin, Timbalan Pengarah JKR Pahang. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan SPINE bukan sekadar pematuhan sistem, tetapi satu transformasi budaya kerja ke arah organisasi berprestasi tinggi yang berteraskan integriti, akauntabiliti dan ketelusan. Beliau turut menekankan bahawa JKR Pahang perlu menjadi contoh kepada jabatan lain dalam memperkukuh tadbir urus, khususnya dalam pengurusan projek, penyenggaraan aset dan penyampaian perkhidmatan teknikal yang melibatkan kepentingan awam secara langsung.

Sesi penilaian lapangan ini diketuai oleh Encik Meor Shahram Faiz bin Mieor Shariman dan dibantu oleh Encik Nabil Eiman Azman dari Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam (PISPA), Institut Integriti Malaysia (IIM). Sepanjang sesi, pasukan penilai melaksanakan semakan terperinci terhadap penilaian kendiri, dokumen sokongan serta amalan kerja sebenar di lapangan, di samping memberikan konsultasi strategik bagi memperkukuh elemen kawalan dalaman, pengurusan risiko dan pematuhan integriti. Penglibatan aktif Ketua Bahagian dan Jurutera Daerah turut memperlihatkan komitmen menyeluruh organisasi dalam memastikan setiap proses kerja, daripada perancangan projek hingga penyenggaraan aset, mematuhi prinsip governans terbaik serta bebas daripada salah laku dan ketirisan.

Dapatan daripada sesi ini dijangka menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dalam sistem pengurusan JKR Pahang, khususnya dalam memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan, meningkatkan ketelusan keputusan teknikal serta memperkemas pengurusan aset awam negeri. Pelaksanaan SPINE ini juga dapat menjadi contoh rujukan dan penanda aras (benchmark) kepada JKR negeri lain dalam usaha memperkukuh sistem integriti dan governans masing-masing, di samping menjadi pemangkin kepada pelaksanaan SPINE secara lebih meluas di peringkat nasional. Melalui pendekatan ini, JKR Pahang bukan sahaja memperkukuh sistem integriti dalaman, malah turut mengukuhkan keyakinan pemegang taruh terhadap keupayaan jabatan dalam melaksanakan projek kerajaan secara profesional, berintegriti dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.

Newsletter

Anda telah berjaya melanggan! Aduh! Kesilapan telah berlaku, sila cuba lagi.
Ikuti sosial media kami

Berita Terkini

  • All Post
  • Berita

Media Sosial

JUMLAH HARI INI : 497
JUMLAH PELAWAT : 475005

Diperakui

Hubungi

© 2026 Institut Integriti Malaysia (IIM) 200401005949 (644452-P). Hakcipta Terpelihara. Paparan terbaik: Mozilla Firefox, Chrome, Internet Explorer 11 ke atas dengan resolusi 1250 x 768. Tarikh dikemaskini pada : 13 August 2026

Skip to content