Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah selesai melaksanakan Sesi Penilaian Lapangan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) pada 11 Ogos 2026, bertempat di Ibu Pejabat LPNM, Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Inisiatif ini mencerminkan komitmen tinggi pihak pengurusan dan warga LPNM dalam memperkukuhkan integriti dan tadbir urus yang lebih sistematik.
Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Musliman bin Tasim, Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan LPNM bersama-sama dengan para Pengarah Bahagian. Dalam ucapannya, beliau menegaskan LPNM sentiasa berusaha mengamalkan nilai-nilai murni dalam setiap aspek tadbir urus.
Sesi penilaian lapangan diketuai oleh Puan Nurul Fadzliyanie binti Mohd Razif selaku Penilai Pertama dan dibantu oleh Puan Fara Hasda Suhaimi, Konsultan Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam (PISPA), IIM. Sepanjang sesi, pasukan penilai telah menyemak dokumen sokongan, menjalankan temubual daripada pegawai berkaitan serta memberikan panduan penambahbaikan, khususnya dari aspek tadbir urus yang terbaik.
Kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh para pegawai LPNM sepanjang penilaian berlangsung telah melancarkan keseluruhan proses penilaian. Melalui sesi ini, semakan pembuktian dokumen dan syor penambahbaikan berkaitan elemen-elemen tertentu yang dikenalpasti diharap dapat menjadi nilai tambah kepada pihak LPNM, seterusnya memperkukuhkan lagi mutu kerja dan keberkesanan kawalan dalaman dan menegaskan bahawa integriti bukan sekadar pematuhan dokumentasi, tetapi ianya adalah asas utama dalam siste pengurusan organisasi.








