KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2026 – Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menyertai Sesi Input Pakar melalui Teknik Kumpulan Nominal (Nominal Group Technique – NGT) Berkaitan Model Psikospiritual Antirasuah anjuran Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Sesi ini merupakan sebahagian daripada kajian “Pembangunan Model Psikospiritual Antirasuah dalam Membentuk Kesejahteraan Spiritual Penjawat Awam Berdasarkan Kitab Ighāthah al-Lahfān”, yang bertujuan menilai dan mengesahkan model yang telah dibangunkan berdasarkan dapatan kajian terdahulu. IIM telah dijemput sebagai salah satu panel input pakar bagi memberikan pandangan dan kepakaran dalam menilai serta mengesahkan kesesuaian model yang dibangunkan, khususnya dari aspek kerelevanan dan kebolehlaksanaan dalam konteks pencegahan rasuah serta pengukuhan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam, khususnya penjawat awam beragama Islam.
Sesi input pakar ini turut menghimpunkan wakil daripada pelbagai agensi dan bidang kepakaran, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta pakar-pakar akademik universiti. Penglibatan pelbagai pihak ini memberikan perspektif yang lebih menyeluruh dalam menilai kesesuaian model daripada aspek integriti, penguatkuasaan, pengurusan perkhidmatan awam serta dimensi akademik dan psikospiritual.
Penglibatan IIM dalam sesi ini merupakan kesinambungan kerjasama penyelidikan yang telah dijalinkan bersama Bahagian Penyelidikan IIM sebelum ini melalui sesi temu bual pada 12 Ogos 2024 sebagai sebahagian daripada fasa awal kajian. Kerjasama tersebut telah memberikan ruang kepada IIM untuk berkongsi pandangan dan kepakaran berkaitan aspek integriti, antirasuah serta pembudayaan nilai dalam perkhidmatan awam. Selaras dengan aspirasi IIM sebagai Peneraju Pembudayaan dan Hub Integriti Nasional, kerjasama penyelidikan seperti ini merupakan platform penting untuk menghimpunkan ilmu, kepakaran dan perspektif pelbagai sektor bagi menghasilkan pendekatan integriti yang lebih relevan, kontekstual dan berimpak. Pendekatan kolaboratif ini juga menyokong usaha IIM untuk memperkukuh ekosistem integriti negara melalui perkongsian pengetahuan, pembangunan inovasi serta penerapan nilai integriti dalam pelbagai lapisan masyarakat dan organisasi. IIM telah diwakili oleh pegawai- pegawai penyelidik kanan daripada Bahagian Penyelidikan (BPY).







