Pada 6 Ogos 2026, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang diketuai oleh YBhg. Datuk Seri Noridah Ibrahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, bersama barisan pegawai kanan IIM . Pertemuan strategik ini bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama antara kedua-dua agensi dalam memperluas agenda pembudayaan integriti menerusi ekosistem pendidikan awal kanak-kanak, kekeluargaan, kepimpinan masyarakat dan pembangunan komuniti.
Antara fokus utama perbincangan ialah pelaksanaan Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) di hampir 11,000 TASKA dan TABIKA KEMAS di seluruh negara sebagai medium untuk membentuk sahsiah, karakter serta nilai-nilai murni sejak usia awal. Ketua Pengarah KEMAS turut menyatakan komitmen penuh terhadap pelaksanaan modul berkenaan. Bagi memastikan kandungan MIKa dapat disampaikan secara berkesan dan konsisten, program Training of Trainers (ToT) akan dilaksanakan kepada para pendidik KEMAS bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan pendekatan penyampaian yang bersesuaian.
Selain MIKa, KEMAS turut menyatakan kesediaan untuk menyokong pelaksanaan Modul Integriti Keluarga (MIKe) serta Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM). Skop kerjasama yang dicadangkan merangkumi penganjuran kursus, latihan, bengkel keibubapaan dan program pembangunan komuniti melalui platform sedia ada KEMAS, termasuk JPKK dan TabiCast. Dalam masa yang sama, KEMAS turut berkongsi usaha memperkasa pendidikan digital melalui pembangunan kandungan pembelajaran berasaskan animasi dan bahan interaktif, sekali gus membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam melahirkan modal insan dan komuniti yang berintegriti.













