Institut Integriti Malaysia (IIM) telah melaksanakan Kursus Modul Integriti Penguat kuasa Sarawak (MIPS) siri 1/2026 anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak pada 31 Mac 2026. Kursus yang diadakan di Hotel Mercure Miri ini telah dihadiri seramai 39 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai penguat kuasa Sarawak.
Kursus ini bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan terhadap prinsip integriti, etika kerja serta kepentingan mengekalkan akauntabiliti dalam melaksanakan tugasan sebagai pegawai penguat kuasa di samping meningkatkan kesedaran tentang implikasi salah laku dan pelanggaran tatakelakuan. Kursus ini juga bertujuan membentuk keupayaan pegawai membuat keputusan beretika dalam pelbagai situasi, serta memupuk komitmen berterusan untuk mengekalkan profesionalisme, ketelusan dan kepercayaan awam terhadap organisasi penguatkuasaan.
Kursus ini telah disampaikan oleh Puan Munah Abdul Aziz dan Encik Nabil Eiman Azman, Konsultan Pusat Integriti Sektor Awam dan Perniagaan, IIM.










