Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan Program Bantuan Persekolahan “Back to School” di Sekolah Kebangsaan Jeransang, Kuala Lipis, Pahang yang melibatkan penyerahan pek barangan persekolahan kepada murid sekolah. Inisiatif ini merupakan usaha menyediakan persiapan murid dalam memulakan sesi persekolahan tahun 2026.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif IIM dalam menyokong pembangunan pendidikan yang inklusif.
Pihak MYDIN turut menyertai inisiatif ini sekaligus mencerminkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam usaha kebajikan dan pembangunan pendidikan.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Tuan Haji Zulfakri bin Haji Idris, Timbalan PPD Lipis, Encik Shabarudin bin Awang, Guru Besar SK Jeransang serta Encik Sivalinggam a/l Ramakirishnan, Pengurus MYDIN Cawangan Jengka. Institut Integriti Malaysia merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada warga Sekolah Kebangsaan Jeransang, PPD Lipis, syarikat MYDIN Malaysia serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan pelaksanaan program ini.
IIM berharap agar sumbangan ini dapat memberi manfaat berterusan kepada murid-murid, di samping menyuntik semangat dan motivasi untuk mereka terus menimba ilmu serta membentuk jati diri sebagai generasi masa hadapan yang berilmu, beretika dan berintegriti.





