Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah menganjurkan Program Kesedaran Pembangunan Integriti Bersama Komuniti ‘ Community Integrity Building ’ (CIB) di Kota Samarahan, dengan penyertaan hampir 300 peserta dalam kalangan komuniti, PBT, dan wakil masyarakat setempat pada 18 Januari 2026.
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Pertunjukan Sarawak; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak. YB Dato Sri Haji Abdul Karim telah menegaskan bahawa pembangunan Sarawak bukan sahaja perlu bergerak pantas, tetapi dibina atas asas integriti, kepercayaan dan akauntabiliti
Turut hadir memeriahkan program ialah Yang Berhormat Dato’ Murshid Diraja Datuk Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), wakil Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dan wakil-wakil Residen & Ahli Majlis kawasan Samarahan..
Pendekatan perlaksanaan program CIB ini menjadikan komuniti bukan sekadar penerima, tetapi rakan strategik dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam, pelaksanaan projek dan tadbir urus tempatan berjalan dengan lebih berintegriti dan berkesan.
Pelaksanaan CIB ini amat signifikan dengan keperluan semasa terhadap sistem yang responsif, telus dan dipercayai rakyat. Program ini turut menjadi platform penting untuk membina kefahaman bersama bahawa integriti dijadikan budaya hidup yang perlu dibina secara kolektif.
Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih berdaya tahan, beretika dan berintegriti di Sarawak.





