YDH Datuk Ts. Ahmad Ramdzan bin Daud, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), telah mempengerusikan Mesyuarat Pelaporan Kajian Indeks Integriti Malaysia (InTeM) pada 20 November 2026. Sesi ini diadakan bagi mendengar pembentangan hasil kajian InTeM terkini, meneliti tahap penghasilan instrumen, dan merangka tindakan susulan bagi pembangunan InTeM pada fasa seterusnya. Mesyuarat ini juga bertujuan membincangkan elemen-elemen kritikal sebelum pembentangan rasmi kepada Jawatankuasa Program dan Aktiviti Teras (JKPAT), dan seterusnya kepada Mesyuarat Lembaga Pengarah IIM.
Prof. Dr. Yarina Ahmad, Penolong Naib Canselor UiTM merangkap Ketua Penyelidik Kajian InTeM, telah membentangkan dapatan komprehensif merangkumi analisis data, pendekatan metodologi serta input substantif yang diperlukan bagi memperkukuh kredibiliti dan integriti keseluruhan instrumen. Kajian ini kini berada pada fasa terakhir, dengan tumpuan utama memastikan InTeM berfungsi sebagai instrumen penilaian integriti nasional yang sahih, robust dan berimpak tinggi. Dalam sesi ini, UiTM dan IIM turut bertukar pandangan berhubung hala tuju strategik, pencapaian semasa dan ruang penambahbaikan bagi mempertingkat mutu pelaksanaan InTeM.
Sesi perbincangan ini turut dihadiri oleh Dr. Mohammad Azuwadi bin Mohd Yasin dan Encik Armyn Fahmy Mohd Fahmy dari UiTM. IIM pula diwakili oleh Puan Norasikin Baharudin, Pengarah Bahagian Penyelidikan (BPY); Dr. Rashidah Kamarulzaman, Timbalan Pengarah BPY; serta Puan Aufzalina Mohd Yusof, Pegawai Penyelidik Kanan BPY





