Institut Integriti Malaysia (IIM) telah melaksanakan Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan bagi Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) pada 24 April 2025 di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Sebagai agensi barisan hadapan yang bertanggungjawab terhadap kawalan sempadan dan keselamatan negara, penyertaan JIM dalam projek perintis ini mencerminkan komitmen tinggi terhadap pemantapan sistem integriti dan governans organisasi.
Penyertaan ini juga selari dengan moto JIM, “Kedaulatan dan Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama”, yang menuntut budaya kerja berintegriti dalam memastikan kepercayaan awam dan kelestarian perkhidmatan. SPINE dilihat sebagai satu instrumen penting bagi memperkukuh tadbir urus sektor awam, sejajar dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan aspirasi negara untuk memperbaiki skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.
Sesi ini turut menilai pelaksanaan penilaian kendiri oleh JIM dan memberi ruang kepada maklum balas penambahbaikan sebelum SPINE dilancarkan di peringkat nasional. Delegasi IIM diwakili oleh Muhammad Khairul Azmir Mohd Paiz dan Abdul Rahman Abdullah selaku konsultan, serta Nabil Eiman Azman sebagai pemerhati.





