Institut Integriti Malaysia (IIM) telah melaksanakan Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 1, Siri 16 Bil.4/2025 dan Tahap 2 Siri 5 Bil.4/2025 pada 6 hingga 8 Mei 2025 bertempat di Dewan Sentral Sarikei, Sarawak.
Majlis perasmian kursus bagi siri ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang. Turut hadir pada majlis ini ialah YB Datoʼ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman).
Seramai 125 orang peserta terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Daerah Tanjung Manis yang mewakili Bahagian Mukah dan Daerah Sarikei yang mewakili Bahagian Sarikei telah menghadiri kursus ini yang dilaksanakan selama tiga hari.
Kursus MIKM yang dilaksanakan khusus kepada KMKK di Sarawak bermula sejak tahun 2023 ini bertujuan untuk memperkasakan pembudayaan integriti dalam kalangan KMKK, terutamanya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin akar umbi di kawasan masing-masing. Selain itu, kursus ini juga bermatlamat untuk meningkatkan keupayaan kepimpinan KMKK berteraskan nilai dengan menjadikan KMKK sebagai ikon integriti yang mampu mempengaruhi masyarakat ke arah budaya beretika dan amanah.
Inisiatif kursus yang bersifat praktikal dan interaktif ini adalah hasil kerjasama strategik antara Institut Integriti Malaysia (IIM) serta Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) selaras dengan hasrat memperkukuh keutuhan pentadbiran dan tadbir urus komuniti di peringkat akar umbi.
Kursus ini telah disampaikan oleh Encik Noranizam Nordin, Encik Muhammad Afiq Zharfan dan Encik Fazly Noordin, Konsultan dari Pusat Pembangunan Integriti Komuniti (PPIK).