[:my]KUALA LUMPUR, 16 JANUARI 2018: Dalam mewujudkan gerakan pemantapan etika dan integriti, di antara tunjang penting yang akan mengemudi arah tersebut ialah kepercayaan agama dan asas pendidikan seseorang individu.
Malah, kepentingan agama juga dilihat mempunyai peranan signifikan dalam memupuk dan memperkasakan nilai-nilai murni dalam kalangan penganut yang berlainan agama agar dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat Malaysia berintegriti tinggi.
Menyedari hakikat itu, Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) menganjurkan program Diskusi Intelektual bertemakan “Membina Negara Bangsa Berintegriti Dari Perspektif Institusi Pelbagai Agama dan Pendidikan” bagi meningkatkan peranan institusi-institusi agama dan pendidikan dalam memperkukuh persefahaman dan perpaduan antara kaum ke arah pembinaan sebuah negara bangsa berintegriti tinggi.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucaptama.
Diskusi Intelektual yang berlangsung di Menara INTEGRITI di sini, menampilkan YBhg Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia; YBrs. Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam, Univeristi Malaya dan YBrs. Dr. Wendy Yee Mei Tien, Pensyarah Kanan Pusat Pencetus Bakat dan Latihan Industri (CITra), Universiti Malaya. Sesi ini juga menampilkan Nazri Kahar, Penerbit Eksekutif ASTRO Awani yang bertindak sebagai moderator.
YAB Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan buku terbitan INTEGRITI berjudul Nilai Integriti Dalam Pelbagai Agama – Pengikat Persefahaman dan Modul Integriti Prasekolah (MIPs).
Selain itu, beliau juga merasmikan Pusat Data INTEGRITI dan Makmal Profil Integriti Malaysia (MIP). MIP merupakan salah satu instrumen yang dibangunkan bagi meningkatkan usaha pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti. Pusat Data INTEGRITI pula merupakan satu sistem berinformatif dan interaktif yang memaparkan data, trend dan isu-isu integriti di negara ini.
Timbalan Pengarah dan Penyelaras Program Institusi Agama INTEGRITI, Loganathan Veerasamy merupakan Editor Buku Nilai Integriti Dalam Pelbagai Agama Pengikat Persefahaman. MIPs dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia untuk digunakan di tadika-tadika kendalian Kementerian.
Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid berkata berkata, usaha pembudayaan dan penghayatan integriti tidak boleh diserahkan kepada INTEGRITI semata-mata.
Kata beliau, semua pihak perlu terus memberi sokongan padu kepada INTEGRITI untuk mencapai matlamat dalam Pelan Integriti Nasional (PIN).
“Saya mahu semua pihak bersatu tenaga bagi menjadikan agenda pembudayaan dan penghayatan integriti sebagai satu gerakan massa atau a mass integrity movement.
“Saya percaya untuk sesuatu perkara itu dibudayakan, kita perlu melibatkan gerakan massa dan dilakukan secara meluas lagi melata. Untuk mengubah sikap atau untuk memperbetulkan sesuatu, kita perlu mempelbagaikan manhaj atau kaedah,” kata beliau dalam ucaptamanya.
Malah menurut beliau, memandangkan usaha itu merupakan satu usaha jangka panjang, “kita tidak boleh hanya berharap apabila orang telah berikrar, maka semuanya akan menjadi baik.”
“Ikrar sahaja tidak akan mengubah sikap,’ katanya.
Justeru kata YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid, beliau mahu INTEGRITI, agensi-agensi kerajaan, swasta, dan masyarakat sivil yang lain bersama-sama dalam gerakan massa ini melalui pendekatan yang pelbagai dan konstruktif.
“Agenda pembudayaan budaya berintegriti yang ingin kita bentuk tiga dekad akan datang perlu bermula hari ini. Ia perlu membabitkan segenap lapisan masyarakat Malaysia,” tambah beliau.
Dalam pada itu, YBhg Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBhg Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff berkata, INTEGRITI berharap kedua-dua buku dan modul dilancarkan hari ini akan menyumbang ke arah kefahaman dan pencarian kepada penyelesaian yang lebih efektif.
“Saya secara peribadi dan bagi pihak Pengurusan INTEGRITI ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penulis yang menyumbang bahan dan juga kepada pasukan yang membantu menggubal modul integriti pra-sekolah,” katanya.
Katanya, buku dan modul itu merupakan antara usaha yang diambil oleh INTEGRITI dalam mempelbagaikan kaedah ke arah usaha membudayakan integriti terutamanya kepada generasi akan datang selari dengan sasaran PIN.
“Kita akan sentiasa berusaha mencari jalan agar generasi akan datang dapat dididik dan didedahkan dengan nilai-nilai murni, selain melatih generasi masa kini dengan amalan yang dapat memupuk satu budaya baik sebagai resam kehidupan seharian mereka,” kata beliau.
Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Dr G Manimaran, Pengarah Program Komunikasi, Pusat Komunikasi, Program Bitara & Antarabangsa di talian 012-3081355 atau 03-62092050.[:]