[:my]PENDAHULUAN

  1. Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati kerana pada hari ini dapatlah kita berada dan berkumpul dalam menjayakan Seminar Kebangsaan: “Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan”.

 

  1. Program ini, yang merupakan hasil kerjasama di antara Kementerian Pendidikan Malaysia atau KPM dengan Institut Integriti Malaysia atau lebih dikenali sebagai INTEGRITI, merupakan tanda usaha, sokongan dan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasa dan membudayakan nilai-nilai integriti dalam kalangan kita semua selaku penjawat awam, terutamanya dalam bidang pendidikan.

 

  1. Suka saya ambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada INTEGRITI atas kesudian untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan. Tidak lupa juga kepada semua pihak yang hadir serta terlibat dalam menjayakan seminar ini.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

ISU INTEGRITI

 

  1. Dalam hal ini, bidang pendidikan dilihat sebagai salah satu instrumen pencegahan dan pagar kukuh untuk membentengi gejala-gejala tidak sihat daripada terus berleluasa dalam kalangan masyarakat. Pendidikan awal, sebermula dari rumah yang ditunjangi oleh ibu bapa dan kemudiannya diteruskan di peringkat sekolah, sehingga ke institusi pengajian tinggi, seharusnya menjadi sinergi mantap yang berkesinambungan antara semua lapisan dalam sistem pendidikan negara. Justeru, selain ibu bapa, proses pembudayaan integriti sehingga menghasilkan insan yang berjati diri unggul dan berakhlak mulia turut memerlukan peranan besar daripada warga pendidik.

 

  1. Maka, kaedah pembelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan salah satu teknik pemupukan integriti yang berkesan untuk dikembangkan atau ditambah baik lagi fungsinya supaya mampu berperanan sebagai instrumen yang mampu memberi impak yang besar.

 

PEMUPUKAN INTEGRITI DALAM PENDIDIKAN

 

  1. Seminar Kebangsaan ini yang bertemakan “Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan” selari dengan objektif Kerajaan Pusat bagi mengenal pasti kaedah-kaedah yang bersesuaian dalam memupuk budaya integriti melalui sistem pendidikan negara.

 

  1. Semoga kupasan daripada forum telah memanfaatkan para hadirin,dan akan dimanfaatkan oleh kita semua demi kepentingan dan manfaat bagi melahirkan masyarakat berintegriti tinggi.

 

  1. Resolusi yang telah dibacakan sebentar tadi juga dengan jelas menunjukkan komitmen bersama kita – pihak Kementerian Pendidikan dan juga INTEGRITI untuk sama-sama berganding bahu bagi merealisasikan objektif seminar ini. Saya berharap resolusi ini seterusnya dapat dijadikan panduan dalam melihat semula kerangka pemupukan nilai-nilai budaya integriti dalam kalangan pemegang-pemegang taruh atau stakeholders sektor pendidikan, terutama golongan pelajar dan generasi muda. Resolusi ini juga akan diambil kira dalam merangka dan menyediakan dasar pendidikan di Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan elemen integriti diambil berat.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

  1. Kementerian Pendidikan sedang mempertimbangkan untuk menekan dan menitikberatkan semula komponen nilai-nilai sivik atau tatanegara dalam proses pembelajaran dan pengajaran bagi mencapai Cabaran Keempat Wawasan 2020 iaitu “membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”. Memandangkan isu-isu pelanggaran melibatkan stakeholders dalam sektor pendidikan dan rakyat Malaysia pada keseluruhannya, saya  percaya sudah tiba masa bagi kita melihat semula keperluan ini. Seperti kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, usaha pemupukan dan penghayatan nilai-nilai integriti yang berkesan perlu bermula dari kecil.

 

  1. Saya juga ingin melihat usaha ini dilakukan secara holistik meliputi semua lapisan proses pengajaran dan pembelajaran. Ini akan dilakukan di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan juga peringkat institusi pengajian tinggi. Peranan ini akan digerakkan dengan tersusun memandangkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi kini telah digabungkan menjadi satu entiti di mana saiz pemegang taruhnya telah bertambah luas, merangkumi hampIr dua pertiga penduduk negara ini. Itu sebabnya, sebagaimana telah saya sebutkan tadi, sektor pendidikan mempunyai peranan yang luas, lagi mendalam dalam menyemai nilai-nilai integriti.
  2. Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menasihatkan agar rakyat Malaysia tidak berhenti daripada belajar kerana pendidikan adalah proses sepanjang hayat. Jika Tun Dr Mahathir menggesa rakyat Malaysia menjadikan pendidikan sebagai satu proses sepanjang hayat, saya ingin mengajak agar rakyat Malaysia menzahirkan komitmen untuk menjadikan penghayatan nilai-nilai integriti sebagai amalan sepanjang hayat. Jangan berhenti daripada belajar nilai-nilai integriti apabila kita melangkah keluar dari sekolah atau mengakhiri pengajian tinggi.

 

  1. Secara purata, zaman kita berada di sekolah atau institusi pengajian tinggi hanya merupakan satu pertiga daripada hidup kita. Sedangkan sebahagian besar masa kita melibatkan alam pekerjaan sebelum kita bersara pada satu hari nanti. Kita perlu berpegang kepada budaya berintegriti tinggi sehingga nafas terakhir kita. Itu sebabnya saya menggesa setiap daripada kita menzahirkan ikrar, komitmen dan pendirian untuk menjadikan amalan budaya berintegriti sebagai “satu proses pembelajaran tidak formal sepanjang hayat”. Kementerian Pendidikan dengan kerjasama agensi-agensi lain sedia menghulurkan sokongan dalam perkara ini.

 

  1. Jika ini dilakukan, saya amat yakin kita boleh mencapai dasar Kerajaan untuk membolehkan Malaysia “dikenali kerana integriti, bukan kerana rasuah”. Sehubungan itu, selaku Menteri Pendidikan, saya komited untuk menggunakan platform sektor pendidikan dengan optimum dan holistik untuk mencapai cita-cita melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang berintegriti tinggi.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

AGEN PERUBAHAN

 

  1. Bagi memastikan objektif pembudayaan integriti ini menjadi satu realiti, tuan-tuan dan puan-puan yang hadir ke program hari ini akan diberi kepercayaan untuk menjadi agen perubahan di organisasi tuan-tuan dan puan-puan bertugas. Tidak kira sama ada di peringkat pejabat, sekolah mahupun institusi pengajian tinggi, setiap seorang daripada kita memikul tanggungjawab ini iaitu menjadi agen perubahan ataupun duta integriti di tempat masing-masing. Peranan tuan-tuan dan puan-puan sangat penting dalam membawa perubahan kepada iklim sistem pendidikan di mana elemen integriti akan kita perkukuhkan di setiap peringkat.

 

  1. Ini kerana, jika setiap daripada kita yang hadir pada hari ini dapat berkongsi hasil seminar ini, maka saya percaya ia akan dapat direalisasikan dan seterusnya diterapkan sebagai budaya kerja yang unggul dalam menjalankan tugasan seharian kita.

 

MODUL INTEGRITI PRASEKOLAH (MIPs)

 

  1. Berbalik kepada kerjasama di antara Kementerian Pendidikan dan INTEGRITI, suka saya maklumkan bahawa kerjasama ini sudah lama terjalin. Modul Integriti Prasekolah atau MIPs telah dibangunkan hasil kerjasama oleh kedua-dua pihak. Melalui modul ini, usaha pemupukan nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak akan disemai seawal usia muda tatkala mereka mengikuti kelas prasekolah. MIPs merangkumi set Rancangan Sesi Pengajaran (RSP), 12 naskhah Buku Cerita Integriti dan cakera padat lagu-lagu bertemakan integriti. Melalui modul-modul cerita-cerita integriti yang mampu diteladani dan lagu-lagu yang sarat dengan mesej integriti yang dibawakan oleh projek rintis ini, didapati bahawa kanak-kanak mampu menghayati maksud integriti dengan cara dan kaedah yang paling mudah untuk mereka fahami. Sehubungan itu, mengambil iktibar daripada ‘success story’ ini, saya berharap kerjasama ini akan diteruskan lagi dalam mempromosikan integriti sebagai salah satu nilai utama dalam sistem pendidikan negara dan kehidupan kita.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

PENUTUP

 

  1. Sebagai mengakhiri kalam, besarlah harapan saya semoga nilai-nilai integriti dapat dijadikan tunjang kepada bidang pendidikan di Malaysia. Oleh itu saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada INTEGRITI yang telah mencetuskan idea untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam menganjurkan seminar ini. Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua pihak lain yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

 

  1. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Kebangsaan: “Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan”.

 

Sekian, terima kasih.

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

11 OKTOBER 2018

 [:]