TAHNIAH! KEPADA INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA (IIM) DI ATAS PENSIJILAN SISTEM PENGURUSAN BERSEPADU MS ISO 37001: 2016 SISTEM PENGURUSAN ANTIRASUAH (ABMS) DAN MS ISO 9001: 2015 SISTEM PENGURUSAN KUALITI (QMS)

 

Setinggi-tinggi tahniah di atas DUA pensijilan iaitu MS ISO 37001: 2016 ABMS dan MS ISO 9001: 2015 QMS yang diterima serentak pada 10 Januari 2021 daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. dan The International Certification Network IQNet sebagai badan peneraju utama di Malaysia dan antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan pensijilan, pemeriksaan dan pengujian.

Skop pensijilan merangkumi:

Sistem Pengurusan Antirasuah & Sistem Pengurusan Kualiti yang merangkumi Latihan dan Konsultasi berkaitan Integriti, Governans dan Antirasuah.

Penularan pandemik Covid-19 bukanlah satu alasan atau penghalang bagi IIM untuk terus mengorak langkah ke hadapan. Gerak kerja yang konsisten bermula sejak Julai tahun lalu, melibatkan seluruh warga IIM kini telah membuahkan hasil yang sangat signifikan. Pencapaian ini merupakan satu kejayaan yang luar biasa di mana dua pensijilan diterima pada masa yang sama dalam tempoh yang singkat lebih-lebih lagi dalam situasi yang mencabar.

Pengiktirafan kepada pensijilan ini sudah pasti akan memperkukuhkan lagi kredibiliti dan reputasi IIM sebagai badan operasi yang bertanggungjawab membangunkan kompetensi dan kapasiti untuk sektor awam dan swasta dalam aspek Governans, Integriti dan Antirasuah. Pensijilan ini juga memberi cerminan bahawa IIM adalah role model kepada penyedia perkhidmatan konsultasi dan latihan yang benar-benar mempraktikkan dan mengaplikasikan standard sistem pengurusan dalaman yang disyorkan kepada pelanggan.

Penganugerahan ini juga amat bermakna menjadi teras kebanggaan kepada warga IIM untuk terus mengekalkan sistem pengurusan dalaman yang berkualiti dan bebas rasuah bagi memenuhi keperluan pelanggan serta mengekalkan standard kualiti penyampaian perkhidmatan dan berintegriti tinggi.

Ini adalah satu langkah permulaan yang baik bagi tahun 2021 dan IIM akan terus mara ke hadapan demi mencapai kecemerlangan. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Ahli Lembaga Pengarah, Pihak Pengurusan dan warga IIM yang sentiasa komited dalam usaha mendapatkan pensijilan ini.