Siri pertama Bengkel Training of Trainers (ToT) untuk Modul Integriti Penguatkuasa (MIP) telahpun diadakan pada 22 April 2022 bertempat di Bilik Bijaksana, Institut Integriti Malaysia (IIM). Bengkel ini telah dikendalikan oleh Encik Harisham Ibrahim, Ketua Seksyen Penilaian dan Pembangunan Produk (SPPP), IIM.
MIP merupakan produk inovasi yang diubah suai daripada Modul Integriti Agensi Penguatkuasaan asal yang pernah dilancarkan oleh IIM pada tahun 2016. Modul MIP ini disasarkan untuk dilancarkan pada pertengahan tahun 2022.
Bengkel tersebut telah dihadiri oleh seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada para pegawai dan konsultan IIM. Selepas Bengkel ToT ini, IIM akan melaksanakan pula beberapa program rintis MIP mulai 26 April 2022 yang akan melibatkan pegawai penguatkuasa dari pelbagai agensi.
IIM juga akan mengadakan Bengkel Semakan Semula MIP pada 28 April 2022 yang akan melibatkan penyertaan pegawai dari Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), 21 agensi di bawah seliaannya dan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sekitar Lembah Klang.
Semakan modul ini bertujuan untuk memperkemas dan memantapkan lagi kandungan pengisian modul supaya ianya dapat dilaksanakan kelak dengan lebih komprehensif dan berkesan dalam usaha melahirkan modal insan dalam kalangan pegawai-pegawai penguatkuasa yang mempunyai nilai integriti dan etika yang tinggi dalam negara ini.
Selain itu, wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) juga akan dijemput untuk bersama-sama membantu menjayakan bengkel semakan semula MIP ini.



