Sesi Train-of-Trainer (TOT) kepada jurulatih (trainer) dilantik mewakili Agensi-agensi Peneraju Bersama bagi Inisiatif 6.2.4 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu berkaitan dengan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi telah selesai dilaksanakan pada 25 April 2022.

Sesi secara dalam talian ini telah disampaikan oleh Encik Raymon Ram dari Transparency International Malaysia selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Modul di bawah inisiatif ini.

Seramai 25 orang jurulatih yang mewakili Agensi-agensi Peneraju Bersama seperti SPRM, SSM, MICG, ICDM dan Pejabat-pejabat SUK Negeri dari Johor, Kelantan, Terengganu, Perak dan Pulau Pinang turut serta dalam sesi pada hari ini.

Tujuan sesi ini diadakan ialah untuk memberi penerangan berkenaan manual latihan dan modul-modul berkaitan dengan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi yang telah dikemas kini dan diselaraskan sebagai standard yang akan digunakan oleh Agensi-agensi Peneraju Bersama dalam menyampaikan taklimat dan latihan khusus kepada organisasi komersial di peringkat agensi masing-masing agar mencapai matlamat inisiatif yang ditetapkan.