Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan Sesi Perjumpaan Khas Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) IIM bersama dengan Unit Integriti Kementerian, Jabatan-jabatan dan Agensi-agensi Kerajaan pada 16 Oktober 2023 bertempat di Dewan Persidangan Mahkamah Syariah, Putrajaya. Sesi ini telah dihadiri seramai lebih 100 orang pegawai (melibatkan lebih 70 agensi) yang merangkumi Ketua Pentadbir, Pengarah, Ketua Unit Integriti dan pegawai agensi masing-masing.
Sesi ini diadakan bertujuan bagi memberikan taklimat dan penerangan berkenaan dengan fungsi, peranan serta hala tuju IIM dalam usaha untuk membudayakan integriti melalui kerjasama antara pelbagai agensi sama ada di peringkat awam mahupun swasta. Selain itu, sesi ini memberi pendedahan mengenai rangkaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh IIM termasuk pelbagai aktiviti yang direncanakan khusus sempena Sambutan Bulan Integriti Nasional 2023 yang akan diraikan pada bulan November hadapan.
Perjumpaan ini telah dipengerusikan oleh Datuk Nor Yahati Binti Awang, KPE IIM. Sesi pembentangan produk dan perkhidmatan IIM telah disampaikan oleh Ketua Seksyen Perancangan dan Strategik Korporat, Encik Zubayry Abady Sofyan manakala sesi pembentangan berkenaan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2023 telah disampaikan oleh Ketua Seksyen Korporat Integriti Sistem Malaysia, Encik Mohd Rais Ramli.








