YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE), Institut Integriti Malaysia (IIM) telah memberi taklimat dan mengadakan sesi dialog dengan seramai 90 orang Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dan Ketua Unit Integriti seluruh Sarawak pada 15 Jun 2022 di Kuching, Sarawak.

Antara lain beliau telah memberi penerangan ringkas tentang program dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh IIM.

Selain itu, beliau menggalakkan penyertaan agensi-agensi dan anak syarikat awam Sarawak dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022. Menurut beliau, AIGA2022 boleh dijadikan sebagai instrumen penanda aras bagi menguji ketersediaan pelaksanaan ekosistem Integriti setiap agensi.

Beliau turut berkongsi tentang beberapa pengalaman dan inisiatif IIM dalam usaha pemerkasaan pembudayaan dan penghayatan nilai integriti kepada pemegang taruh dalam agensi masing-masing.

Dalam kesempatan ini juga, Datuk Wan Suraya turut menjelaskan tentang mandat, peranan dan fungsi baharu IIM yang lebih memfokuskan kepada program-program advokasi dan libat urus berkaitan integriti dan tadbir urus.

Turut sama dalam sesi ini ialah YBrs. Tuan Haji Adana Bin Haji Jed, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Negeri, Jabatan Premier Sarawak, Encik Pele Peter Tinggom, Setiausaha DUN Sarawak dan dan Puan Khartini binti Johari, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Sarawak.