[:my]KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2018: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dan Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan Seminar Kebangsaan Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan di Menara INTEGRITI di sini, hari ini.

Objektif utama seminar ini adalah bagi mendapatkan pandangan pakar berhubung isu ketirisan integriti yang semakin berleluasa, di samping menerokai agenda pembudayaan, pemupukan dan penghayatan integriti dalam pendidikan.

YBrs Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI dalam ucapan aluannya berkata, budaya berintegriti perlu dipupuk sejak dari peringkat sekolah lagi.

Ini adalah kerana “melalui pendidikan, para pelajar dapat dibentuk menjadi seorang yang mempunyai nilai-nilai jati diri yang kukuh, berketerampilan tinggi, berakhlak mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi membina kemajuan negara.”

Sempena Seminar Kebangsaan ini, Forum Integriti yang bertemakan “Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan” turut diadakan. Ia menampilkan gandingan ahli panel YBhg. Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid,  Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI; YBhg Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan YBrs Dr. Wendy Yee Mei Tien dari Universiti Malaya.

Kemuncak Seminar ialah penyerahan resolusi dan ucaptama oleh YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan. YB Dr Maszlee diwakili oleh Timbalannya, YB Teo Nie Ching.

Dalam ucaptamanya, YB Dr Maszlee menyentuh mengenai kepentingan guru atau tenaga pengajar serta kakitangan akademik untuk mengamalkan budaya berintegriti dalam tugasan yang dilakukan.

Jelas beliau lagi, seseorang guru seharusnya mengikuti kod etika perguruan bagi memastikan isu-isu integriti tidak dipersoalkan.

Melalui kod etika perguruan, para guru dapat menjaga tingkah laku sebagai seorang guru, dan memahami dengan jelas etika seorang guru iaitu tanggungjawab mereka terhadap para pelajar, ibu bapa, rakan sejawat, masyarakat dan negara.

INTEGRITI dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun menjalin kerjasama bagi membangunkan Modul Integriti Prasekolah (MIPs).

Seramai 300 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru serta pensyarah terlibat sama dalam sidang selari yang turut diadakan. Sidang selari ini mengupas topik Kepimpinan dan Tadbir Urus, Pengajaran, Pembelajaran dan Penyeliaan dan Profesionalisme Pendidikan.

 [:]