Sejurus selepas selesainya Majlis Pelancaran Program Rintis Pembangunan Integriti Bersama Komuniti atau “Community Integrity Building (CIB)” yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Premier Sarawak di Dewan Masyarakat Sundar, Lawas pada pagi ini, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan sesi taklimat susulan mengenai pelaksanaan Program tersebut kepada semua pihak berkepentingan pada sebelah petang bertempat di Lawas, Sarawak.

Selain taklimat CIB yang disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Hamilye Sham Harun, Pengurus Besar Kanan IIM, sesi ini turut disertakan dengan sesi soal jawab dan dialog antara para peserta dengan YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif IIM.

Seramai 11 orang wakil dari empat (4) residensi terpilih di Sarawak iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Daerah Limbang (MDL) dan Majlis Daerah Matu-Daro (MDMD) telah menghadiri sesi ini.