YBhg. Datuk KPE telah memenuhi jemputan sebagai Ahli Panel forum sempena Sambutan Hari Integriti Telekom Malaysia (TM) 2022 yang bertemakan “Integriti Tanpa Kompromi” pada 1 November 2022 bertempat di Pusat Konvensyen TM.

Datuk Wan Suraya telah mengupas secara terperinci berkaitan peranan IIM dan program-program yang dilaksanakan oleh IIM sepanjang bulan November sebagai pengisian Bulan Integriti Nasional.

Beliau turut menekankan tentang bagaimana Integriti bermula dari Keluarga ke tempat kerja dan peringkat komuniti, sejajar dengan tema sambutan Bulan Integriti Nasional 2022 iaitu “lntegriti Teras Keluarga Malaysia”.

Ahli panel lain yang turut sama pada forum ini termasuklah YBrs. En. Imri Mokhtar, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM dan YBhg. Dato’ Allaudeen Abdul Majid, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Polis Diraja Malaysia (PDRM). Manakala moderator pada forum yang sama ialah YBrs. Dr. Muhammad Mohan, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M).

Majlis perasmian Sambutan Hari Integriti telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Norazlan Mohd Razali Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Turut hadir ialah YBhg. Tan Sri Azlan Hashim, Pengerusi TM.

Seramai 400 orang peserta telah hadir ke majlis sambutan Hari Integriti TM ini termasuk ahli lembaga pengarah TM, pihak pengurusan TM, warga kerja TM, warga TM, rakan-rakan strategik rakan niaga dan rakan pembekal TM serta tetamu jemputan yang lain.